Semakan ditolak, bekas pakar patologi bunuh Kevin Morais kekal digantung

14 hours ago 8

PUTRAJAYA – Bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran kekal menjalani hukuman gantung atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram konkrit 11 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah selepas menolak permohonan Kunaseegaran, 63, untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mensabit dan hukuman gantung atas pertuduhan tersebut.

Ketika membaca penghakiman, Hakim Hashim berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas berpendapat pemohon tidak memenuhi ambang undang-undang (threshold) yang diperlukan bagi membolehkan mahkamah tertinggi itu menyemak semula keputusan terdahulunya.

“Panel sememangnya telah menimbangkan isu-isu lain termasuk keterangan keadaan (seperti yang dinyatakan sebelum ini), pertuduhan serta pembelaan yang dikemukakan oleh pemohon. Oleh itu, hujah yang mendakwa panel tidak menimbangkan isu-isu lain adalah tidak dapat diterima sama sekali.

“Kami berpendapat bahawa peruntukan sebelum ini lebih sesuai terpakai dalam kes ini. Dengan ini, kami menolak semakan tersebut,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang dalam semakan itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar.

Semasa prosiding, pemohon diwakili peguam Datuk N.Sivananthan, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth manakala pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Edris Zainuddin.

Pada 1 Julai tahun lalu, Kunaseegaran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan, di sini atas pertuduhan membunuh Kevin manakala dua lagi iaitu pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chandaran, 54, dan S.Nimalan, 32, dipenjara masing-masing dipenjara 35 dan 40 tahun serta 12 sebatan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (yang kini telah bersara) selepas meneliti rayuan perayu sebelum ini.

Namun dalam semakan hari ini, Ravi Chandaran, dan Nimalan tidak membuat semakan berhubung hukuman itu.

Pada prosiding lalu itu, mahkamah turut memutuskan tiga lagi lelaki iaitu R.Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; M.Vishwanath, 35, dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati kekurangan bukti untuk mensabitkan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.

Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Kevin di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rayuan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan yang mana panel hakim mahkamah itu mengekalkan hukuman kerana kejadian bunuh itu dirancang rapi dengan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.

Kevin dilihat kali terakhir meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya pada 16 September tahun sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |