PUTRAJAYA – Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Sharifah Mahani meluahkan kesyukuran apabila akhirnya boleh memulakan persiapan majlis perkahwinan anaknya bersama tunang, Bella Astillah selepas keputusan mahkamah memihak kepada mereka.
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, berkata, sepanjang Syed Saddiq turun naik mahkamah, dia langsung tidak mempunyai hati untuk membuat sebarang persiapan untuk hari bersejarah anaknya itu.
“Hari ini yang menentukan (persiapan lanjut). Jadi bolehlah sekarang kita ikat bunga telur, bolehlah cari telur dekat mana.
“Kami memang tak ada mood nak buat persiapan selagi perkara ini (kes mahkamah) belum selesai.
“Bayangkan kalau sesuatu yang negatif berlaku hari ini, bagaimana? Saya tak nak mengecewakan anak orang,” katanya selepas ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, hari ini.
Pada masa sama, Sharifah Mahani juga bersyukur apabila bakal menantunya tetap setia menemani Syed Saddiq sepanjang tempoh sukar itu walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran.
“Bukan mudah mendampingi Saddiq sebab dia kena turun naik mahkamah. Saya selalu fikir, adakah dia akan dapat pasangan yang sanggup berkorban bersama-sama dia.
“Alhamdulillah, Bella sanggup. Orang yang boleh memberi kegembiraan kepada anak saya, orang itulah yang layak menjadi bakal menantu saya,” ujarnya
Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan itu bukan sahaja mengakhiri penantian enam tahun, malah membuka lembaran baharu buat pasangan berkenaan yang diharapkan dapat mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Kongsinya, sepanjang tempoh ini dia juga sukar melelapkan mata dan hilang selera makan terutama menjelang keputusan mahkamah kerana terlalu bimbang memikirkan nasib anaknya.
“Sekarang memang teruja. Sebelum ini saya tak berani. Mudah-mudahan dalam beberapa bulan lagi Allah SWT menghadiahkan kebahagiaan kepada sepasang mempelai ini,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta. -KOSMO! ONLINE

17 hours ago
4















































