TEKNOLOGI robot humanoid kini semakin berkembang pesat dan mula memainkan peranan penting dalam bidang perubatan, khususnya bagi membantu doktor menjalankan prosedur pembedahan.
Dengan gabungan kemampuan kecerdasan buatan (AI), sistem penderia canggih serta keupayaan pergerakan yang tepat, robot humanoid dapat membantu pakar bedah melaksanakan pembedahan dengan ketepatan tinggi.
Kelebihan itu bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kesilapan, malah membolehkan prosedur pembedahan dibuat dengan lebih selamat, kurang invasif dan mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
Baru-baru ini, pasukan penyelidik daripada Universiti California San Diego (UC San Diego), Amerika Syarikat telah mencatat sejarah selepas berjaya menyelesaikan pembedahan pertama di dunia menggunakan robot humanoid dalam satu ujian praklinikal.
Robot humanoid itu berjaya melakukan pembuangan pundi hempedu pada seekor babi buat pertama kali, sekali gus menjadi pencapaian cemerlang buat pasukan penyelidik.
Memetik laporan UCSD Today, prosedur perintis itu telah dilakukan oleh seorang jurutera, Michael Yip bersama seorang pakar bedah, Ryan Broderick sambil dibantu oleh robot humanoid.
Pembedahan itu secara tidak langsung menjadi pendorong ke arah memperkenalkan robot humanoid di dalam bilik bedah, sama ada sebagai pembantu atau melakukan operasi utama.
Yip yang juga Prof. Madya di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Komputer UC San Diego berkata, tidak seperti sistem pembedahan robotik yang hanya boleh melaksanakan satu fungsi, sebaliknya robot humanoid mampu melaksanakan pelbagai prosedur dan tugas umum.
Ryan duduk di konsol telepembedahan dan mengawal robot dalam prosedur membuang hempedu.Katanya, teknologi robot humanoid bukan sahaja boleh digunakan di dalam bilik bedah, malah dapat memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan terpencil atau persekitaran mencabar.
“Robot humanoid yang dikendalikan dari jauh dan autonomi mempunyai potensi besar untuk menguatkan akses kepada pembedahan kritikal.
“Ini dapat membantu menangani krisis penjagaan kesihatan bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah meliputi seluruh dunia,” ujarnya.
“Kajian menunjukkan bahawa robot humanoid mempunyai masa depan yang berdaya maju dalam bidang pembedahan. Teknologi ini dapat membantu komuniti terpencil atau persekitaran yang sederhana seperti situasi mencari dan menyelamat.
“Misalnya, kejadian di kawasan bencana alam yang memerlukan kehadiran pegawai perubatan untuk melakukan pembedahan segera. Kejayaan lebih terjamin dengan bantuan robot humanoid,” katanya.
Salah satu kelebihan utama teknologi baharu itu berbanding sistem robotik pembedahan sedia ada adalah dari segi saiz dan mobiliti yang jauh lebih baik.
Sebelum ini, sistem konvensional (robot) kebiasaannya mempunyai berat sekitar 816 kilogram (kg), memerlukan bilik pembedahan khas, perisian proprietari, peralatan khusus serta kakitangan sokongan terlatih.
Sebaliknya, robot humanoid yang diberi nama Surgie itu hanya mempunyai ketinggian sekitar 1.5 meter dan berat kira-kira 27kg.
Saiz lebih kecil dan kos lebih rendah menjadikan teknologi itu berpotensi untuk digunakan di hospital luar bandar, klinik kecil serta kawasan yang kekurangan sumber.
ROBOT humanoid Surgie terlibat dalam prosedur membuang pundi hempedu secara laparoskopi.Robot itu boleh disepadukan dengan mudah ke dalam bilik pembedahan sedia ada dengan hanya melakukan perubahan kecil pada peralatan pembedahan biasa tanpa memerlukan pengubahsuaian struktur yang kompleks.
Laporan Tech Times memberitahu, pencapaian itu datang seiring dengan perkembangan pesat teknologi robotik di seluruh dunia termasuk pelbagai pencapaian daripada syarikat China seperti Unitree Robotics dan UBTech yang telah menarik perhatian antarabangsa melalui pelbagai ujian prestasi serta aplikasi unik.
Hasil laporan berkaitan pembedahan itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature baru-baru ini, dua prosedur membuang pundi hempedu secara laparoskopi telah dijalankan ke atas khinzir.
Prosedur pertama melibatkan satu robot bekerjasama dengan pakar bedah manusia, manakala prosedur kedua diselesaikan sepenuhnya oleh dua robot yang bekerjasama tanpa kehadiran pakar bedah di sisi meja bedah.
Kedua-duanya dikendalikan dari jauh melalui konsol, di mana pergerakan tangan dan lengan pakar bedah ditukar kepada tindakan robot dengan ketepatan yang setanding sistem robotik pembedahan konvensional.
Robot yang turut dikenali sebagai Unitree G1 itu jauh lebih ringkas berbanding sistem da Vinci seberat 816kg serta memerlukan bilik pembedahan yang diubah suai.
Sebaliknya, robot Surgie boleh disepadukan dengan mudah ke dalam bilik bedah sedia ada menggunakan peralatan pembedahan biasa, sekali gus menjadikan ia digunakan di kawasan berbeza.
Dari segi harga, da Vinci dianggarkan bernilai AS$1.8 juta (RM7.3 juta) hingga AS$2.5 juta (RM10 juta), manakala robot Surgie berharga AS$16,000 (RM75,000).
“Matlamat kami adalah sebuah dewan bedah masa depan yang mana robot humanoid dan manusia saling bekerjasama sebagai sebuah pasukan bersepadu untuk menyampaikan prosedur kepada mereka yang memerlukan.
“Robot ini mampu beroperasi di persekitaran hospital tradisional mahupun dalam senario perubatan lapangan yang bukan tradisional,” ujar Yip.
Walaupun pencapaian itu telah membuka jalan kepada penyelesaian masalah kekurangan tenaga pakar bedah, namun masih terdapat halangan teknikal yang perlu diatasi.
Antaranya adalah keperluan penentu ukuran semula berulang kali yang memanjangkan masa operasi serta kependaman isyarat antara arahan pakar bedah dan pergerakan robot yang masih perlu dikurangkan.
Selain itu, robot Surgie masih belum sempurna kerana ia perlu melakukan penetapan berulang kali dan pergerakan (tindak balas) masih lambat hingga membuatkan tempoh pembedahan lebih panjang.
Menurut laporan Interesting Engineering, para penyelidik tidak menafikan pembedahan tersebut dianggap sebagai kejayaan di bilik bedah, namun beberapa halangan teknikal masih wujud.
Selain itu, jenayah siber juga mungkin akan menggodam sistem robot Surgie, sekali gus berpotensi mengakibatkan kematian pesakit serta menyusahkan banyak pihak.
Secara kesimpulannya, penggunaan robot dalam urusan kehidupan seharian sama ada perubatan, keselamatan, pembinaan atau perkilangan banyak memberi manfaat kepada manusia.
Namun, harus diingat bahawa robot digerakkan dengan sistem yang telah diprogram, di mana manusia terlebih dahulu sudah melakukan semua hal itu secara normal.
Oleh itu, kehadiran robot boleh dianggap sebagai pembantu dan tidak diberikan tanggungjawab sepenuhnya kerana tetap perlu dikendalikan oleh manusia.
Selain Yip, beberapa individu daripada Fakulti Kejuruteraan UC San Diego iaitu Lucas Zekai Liang, Peihan Zhang, Calvin Joyce, Soofiyan Atar, Florian Richter turut terlibat dalam penciptaan robot Surgie.
Sementara itu, beberapa pakar daripada Jabatan Pembedahan, Fakulti Perubatan UC San Diego turut terlibat dalam prosedur tersebut, antaranya ialah Nikita Thareja, Garth Jacobsen, Shanglei Liu dan Ryan Broderick.

10 hours ago
8












































