‘Sebagai manusia, kita patut hormat jika orang mahukan ruang’

1 day ago 9

PETALING JAYA – Enggan mencampuri urusan orang lain, pelakon Hafreez Adam mengakui menghormati keputusan teman seperjuangan, Azar Azmi yang memilih untuk ‘berehat’ dari industri seni sejak beberapa tahun lalu.

Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, berkata, sebagai rakan lama dia memahami andai wanita terbabit ingin mencari ruang buat dirinya sendiri.

“Kali terakhir kami berhubung adalah sekitar 2021 dan selepas itu dia tidak lagi membalas mesej saya untuk bertanya khabar kerana ada juga bertanyakan keberadaannya kepada saya ketika itu.

“Jadi apabila tiada balasan, saya andaikan dia memerlukan masa untuk dirinya sendiri. Sebagai rakan, sudah tentu saya pastinya beri ruang kepadanya.

“Sejujurnya bukan sebagai kawan sahaja, tetapi sebagai manusia walau saya kenal atau tidak, kita patut hormat jika orang itu mahu ruang sendiri,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem Gantung: Musketeer Code, baru-baru ini.

Sebagai anak seni yang sudah lebih sedekad dalam industri, Hafreez turut memahami sepak terajang dalam arena ini yang barangkali memberi tekanan kepada sesetengah individu.

“Mungkin ada segelintir penggiat sudah penat dan dunia ini pun ada banyak tekanan tersendiri. Mungkin dia rasa macam dunia hiburan ini bukan dunia dia, sebab itu dia keluar mencari ruang sendiri.

“Bukanlah bermakna dia dah muak, cuma mungkin perlukan masa untuk tenangkan diri sahaja. Kita tak tahu bila dia akan kembali semula ke arena lakonan, tapi jika dia dah bersedia sudah pasti dialu-alukan dengan tangan terbuka,” ujarnya.

Terdahulu, kehilangan Azar yang tiba-tiba menyepi dari industri hiburan sejak 2021 sehingga sukar dijejaki terus hangat menjadi tanda tanya ramai.

Kali terakhir wajahnya menghiasi televisyen adalah empat tahun lalu menerusi sebuah drama dan difahamkan pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu juga sudah bertudung. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |