YANGON – Pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing hari ini secara terbuka menyelar firma internet satelit milik Elon Musk, Starlink sebagai alat digunakan oleh industri penipuan dalam talian(scam) yang semakin berkembang di negara itu.
Siasatan AFP pada 2025 mendedahkan penggunaan peranti Starlink melonjak dalam industri tersebut, di mana penipu menyasarkan pengguna internet dengan penipuan percintaan dan perniagaan yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh bilion dolar setiap tahun.
Dalam ucapan utama pertamanya di Parlimen sejak dilantik sebagai Presiden kerajaan awam Myanmar April lalu, Min Aung Hlaing menamakan Starlink ketika beliau menegaskan kerajaannya sedang membanteras sindiket-sindiket penipuan dalam talian.
“Kerajaan kami menganggap penipuan dalam talian dan perjudian dalam talian sebagai jenayah berat terhadap orang awam. Oleh itu, kerajaan kami tidak akan bertolak ansur sama sekali dan sedang membanteras serta menyekat mereka dengan sekeras-kerasnya,” kata Min Aung Hlaing.
Beliau mendakwa bahawa warga asing bertanggungjawab berhubung jenayah tersebut.
“Peralatan komunikasi yang mereka gunakan termasuk Starlink serta aksesori komputer, diimport secara haram oleh warga asing,” katanya.
Min Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa 2021 yang menggulingkan pemimpin demokratik Aung San Suu Kyi dan mencetuskan perang saudara berterusan. Beliau dilantik sebagai presiden kerajaan awam susulan pilihan raya yang sangat terhad.
Sejak perang bermula, kompleks-kompleks penipuan telah berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan sering menggunakan pekerja yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dari luar negara.
Parlimen disokong tentera meluluskan undang-undang minggu ini yang membenarkan hukuman mati bagi mereka yang menahan atau memaksa mangsa secara ganas untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.
Junta Myanmar telah lama dituduh menutup mata ketika industri haram itu berkembang, namun menghebahkan tindakan keras sejak Februari lalu selepas didesak oleh penyokong utama junta tentera, negara China, kata pakar-pakar.
Starlink mendominasi sektor komunikasi satelit global dengan beribu-ribu satelit di orbit dan beroperasi di berpuluh-puluh negara.
Pada Oktober tahun lepas, Starlink berkata, pihaknya telah memotong perkhidmatan kepada lebih 2,500 peranti internet di pusat-pusat penipuan Myanmar.
AFP telah menghubungi Starlink untuk mendapatkan ulasan mengenai kenyataan Min Aung Hlaing. – AFP

11 hours ago
4















![[VIDEO] Penganjur RXZ Members digesa beri anugerah kepada ‘Pak Su Tomoi’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/d1cd6874-dae9-4887-9372-773c573d6ae4.jpeg)

































