PETALING JAYA – “Saya nampak sendiri budak tu dah terbaring tak sedarkan diri, saya terus capai telefon dan hubungi 999.”
Demikian detik cemas diceritakan saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 32, selepas menyedari seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terjatuh dari tingkat 30 sebuah kondominium di Bukit Jalil,di sini pagi semalam.
Menurut Wan, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan ke pondok pengawal untuk mengambil barangan peribadi sebelum dikejutkan oleh seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak jatuh dari bangunan tersebut.
“Waktu itu saya sedang berjalan ke pondok ‘guard’, tiba-tiba ‘guard’ panggil dan beritahu ada orang jatuh. Saya terus berlari bersama ‘guard’ ke lokasi dan masa sampai, saya tengok budak tu dah terbaring. Saya terus hubungi talian kecemasan 999,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Kata Wan yang merupakan penduduk di kediaman berkenaan berkata, dia tidak mengenali mangsa secara peribadi namun difahamkan arwah sering dilihat bersama ibunya mengambil bungkusan di kawasan pondok keselamatan.
Ketika kejadian, dia berada di bahagian bawah bangunan dan tidak sempat melihat secara jelas dari mana mangsa jatuh, namun turut berkongsi keadaan ngeri jasad kanak-kanak itu yang sudah tidak bergerak.
“Mula-mula saya ingat ada harapan lagi sebab kami tak pasti dia jatuh dari tingkat berapa. Tapi masa pusing-pusing di kawasan kejadian, ada seorang lelaki datang dan cakap budak tu mungkin dah tak ada. Bila saya tengok dekat, nampak usus budak tu dah terkeluar. Saya terus maklumkan pada operator 999,” jelasnya.
Tambah Wan lagi, kawasan kediaman tersebut masih baru dan banyak unit belum dipasang gril keselamatan secara menyeluruh, termasuk di bahagian balkoni.
“Gril dekat rumah ni kebanyakan pasang sendiri, bukan standard daripada pemaju. Jadi mungkin rumah mangsa belum pasang grill lagi. Lagipun kawasan ni baru, tak sampai dua tahun pun. Mungkin keluarga tu pun baru pindah masuk,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah kondominium, di Bukit Jalil, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.17 pagi menerusi panggilan kecemasan MERS 999.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.-KOSMO! ONLINE