PETALING JAYA – Helah seorang lelaki warga asing yang mendakwa dirinya rakyat Malaysia terbongkar apabila gagal menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku, semasa diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Insiden itu berlaku dalam Ops Mega Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, malam semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jefri Embok Taha berkata, lelaki tersebut merupakan antara ratusan warga asing yang cuba meloloskan diri daripada ditahan menerusi pelbagai taktik termasuk menyamar sebagai penduduk tempatan.
“Antara taktik lain mereka juga adalah bersembunyi di atas bumbung dan enggan membuka pintu ketika serbuan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Menurut Jefri, serbuan bermula pukul 9 malam itu membabitkan 390 anggota pelbagai agensi termasuk JIM Selangor, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor.
“Seramai 1,597 warga asing diperiksa dan hasil risikan dua minggu membawa kepada penahanan 597 PATI berusia antara 11 hingga 59 tahun, terdiri daripada 472 lelaki dan 125 wanita,” ujarnya.
Jelasnya, kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen, tinggal lebih masa serta penggunaan kad pengenalan palsu atau tidak sah.
“Mereka yang ditahan dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah Jafri, pihaknya akan terus melaksanakan operasi berkala dan memberi amaran kepada majikan serta pemilik rumah agar tidak melindungi atau menggaji PATI secara haram.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE