SELEPAS meledak dengan watak Fadlan dalam filem Blood Brothers: Bara Naga, Shukri Yahaya terus menguasai layar lebar dengan filem terbaharunya, Balas Balik.
Pemilik nama penuh Mohd Shukri Yahaya, 37, itu berkata, Balas Balik menyajikan jalan cerita berbeza berbanding filem sedia ada di pawagam ketika ini.
Baginya, Balas Balik yang bertemakan misteri dan penyiasatan itu merupakan gabungan pelbagai idea serta mengambil inspirasi filem genre sama seperti Detective Conan, Knives Out dan Sherlock Holmes.
“Alhamdulillah selepas melihat hasil penuh Balas Balik, saya boleh katakan ini salah satu projek yang boleh dibanggakan dalam kamus kerjaya seni.
“Pengarah dan produser meminati Knives Out serta Detective Conan, manakala saya pula suka Sherlock Holmes, jadi kami ambil tengah-tengah.
“Digabung dengan unsur humor yang tidak terlalu ‘try hard’ untuk buat orang gelak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditanya sama ada mempunyai kerisauan sekiranya penonton membanding-bandingkan wataknya sebagai Detektif Zul dengan karakter polis dalam filem lain, Shukri tidak kisah mengenai hal tersebut.
Katanya, Detektif Zul dilakonkan secara santai dan tidak terikat dengan mana-mana karakter polis seperti naskhah lain.
“Saya okey kalau nak bandingkan, saya bukan bawa watak polis yang tegas seperti dalam filem polis lain.
“Kelainannya ialah watak saya lebih santai. Idea makan kacang adalah idea saya sendiri dan pengarah pun okey.
“Filem tidak banyak babak aksi pun, hanya meminta penonton berfikir. Kemudian ada babak panjat dan terjun guna khidmat stuntman sebab saya jenis takut ketinggian dan gayat, naik roller-coaster pun saya takut,” kongsinya.
Bercerita tentang kepuasan dalam filem, dia mengakui filem merupakan platform untuknya meneroka lebih banyak watak yang tidak dilakukan dalam drama.
Meski ramai yang mahu melihatnya beraksi dalam lebih banyak filem, keutamaannya tetap pada drama yang sudah dilakukannya sejak berbelas tahun lalu.
“Filem seperti ruang escapisme dan berpeluang mencuba lari daripada watak-watak yang saya pernah lakonkan sebelum ini.
“Saya tetap sayang drama sebab itu ibarat sekolah untuk belajar tentang lakonan.
“Sementara filem pula menjadi platform untuk saya praktikkan apa yang sudah saya belajar dalam drama. Filem adalah tempat pelakon melontarkan segala ekspresi lakonan. Itu yang saya belajar, mungkin berbeza pandangan dengan orang lain.
“Apa pun, saya tak akan sesekali pinggirkan drama sebab sudah termaktub nombor satu dalam hati,” ujarnya.
Berkongsi pandangan tentang trend drama tempatan, dia tidak menafikan jalan cerita yang dihidangkan kepada penonton mutakhir ini adalah sama.
“Kalau kita tengok drama sekarang, ‘template’ semuanya sama sahaja, yang membezakan hanya pelakon.
“Saya sebenarnya rindu zaman mula-mula berlakon dulu, ada banyak drama berani bereksperimen seperti Bionik, Pepaya dan Juvana. Naskhah sebegitu sudah lama tidak ditayangkan di televisyen sebab orang lebih suka genre yang trend sekarang.
“Sebenarnya benda itu daripada kita (penggiat seni) juga dan kita perlu ajar penonton untuk tengok benda lain daripada yang sering disajikan,” tuturnya.
Mendunia di layar lebar dan televisyen, Shukri tidak kisah sekiranya ada mengatakan wajahnya tidak eksklusif berbanding pelakon lain yang lebih memilih dalam menerima sebarang tawaran lakonan.
“Saya okey kalau orang kata muka ‘bersepah’ sana-sini. Sebab pelakon yang jarang nampak dalam televisyen mungkin kurang tawaran dan orang akan mula meragui lakonan atau tak nampak kehadirannya dalam industri.
“Kita bukan di Hollywood untuk jadi terlalu selektif. Sesiapa yang memilih fikir-fikirkanlah,” ujarnya.