‘Saya nasihat Dr. Akmal, tak terperangkap emosi politik’

1 day ago 11

PETALING JAYA – Kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah sah dan tidak wajar dipertikaikan, biarpun beliau mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO serta ahli parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzulhilmi Zainol berkata, sehubungan itu, tidak timbul langsung keperluan untuk beliau mengosongkan kerusi menteri.

Menurutnya, secara peribadi beliau mengambil maklum kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh terkait kedudukan Tengku Zafrul dalam Kabinet Kerajaan Madani susulan keputusan Menteri MITI itu untuk meletak jawatan dalam UMNO.

“Alangkah lebih baik jika Dr. Akmal merujuk terlebih dahulu kepada Presiden partinya, sama ada nama Tengku Zafrul dibawa oleh UMNO sewaktu ingin memuktamadkan pembentukan Kerajaan Madani?

“Lebih penting, pelantikan mana-mana individu sebagai menteri adalah hak dan kuasa mutlak Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulhilmi berkata, peranan Tengku Zafrul dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani termasuk pasukan penjawat awam dalam perubahan geoekonomi dan geopolitik dunia susulan perang tarif Amerika Syarikat-China bukan sedikit.

“Selaku tokoh yang efektif di meja rundingan, syukur ke hadrat Allah SWT, Malaysia berjaya mendepani senario ketidakstabilan dagangan global dengan cekap.

“Tengku Zafrul bukan sahaja ‘frontliner’ untuk menarik pelaburan asing, malah berjaya meyakinkan masyarakat antarabangsa serta membina keyakinan komuniti perniagaan global adalah amat penting untuk pertumbuhan ekonomi negara sebagai sebuah negara dagang,” katanya.

Dzulhilmi menasihati Dr. Muhamad Akmal untuk melihat gambaran dan konteks lebih besar dan tidak terperangkap dengan sentimen emosi politik berjiwa kecil yang turut berisiko menyerlahkan citra ketidakmatangan.

“Jika ada kekeliruan, lebih elok diselesaikan melalui saluran dalaman parti dan bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh menggugat muafakat kerajaan.

“Ini bukan mengenai siapa menang, siapa kalah. Bak kata pepatah Melayu Jawa lama, ’seribu kawan terlalu sedikit, seorang musuh itu terlalu ramai’,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu yang dianggotainya sejak 1997.

Susulan itu, Dr. Muhammad Akmal meminta Tengku Zafrul melepaskan jawatannya sebagai menteri selain menyifatkan beliau meletakkan jawatan dalam parti adalah berita gembira kepada orang UMNO. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |