GOMBAK – “Insya-Allah kalau ada rezeki kekal Menteri Besar Selangor. Dia (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) nak pergi haji, saya minta dia doakan”
Demikianlah seloroh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditanya tentang ura-ura penyertaan Tengku Zafrul ke parti tersebut adalah untuk menggantikan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, ura-ura tersebut boleh dikatakan agak rumit kerana perlu berdepan dengan beberapa proses dalam tempoh yang singkat.
“Pada pendapat saya, terlalu panjang ceritanya, saya tak rasa ada jalan itu (Tengku Zafrul bertanding Menteri Besar Selangor) sebab nak kena buat pilihan raya kecil lagi.
“Kita hanya berbaki dua tahun setengah, jadi tidak banyak kita boleh aturkan, kita kena lihat lagi sebarang perkembangan terkini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fauziah Salleh telah memberi kenyataan bahawa permohonan Tengku Zafrul memasuki parti tersebut sedang diproses.
Beliau berkata, dengan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR, ia bakal memperkukuhkan lagi parti tersebut selain dapat bekerjasama dengan lebih erat.
“Kebetulan sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan beliau (Tengku Zafrul) hatta dalam pentadbiran sebelum ini sewaktu beliau selaku Menteri Kewangan. Ada beberapa pertemuan serta urusan kita jalinkan.
“Sekarang beliau selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kita turut bekerjasama contoh dalam bidang aeroangkasa dan semikonduktor. Kita telah mempunyai kolaborasi yang jitu dan saya percaya kita akan bekerjasama dengan lebih baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai hubungan dengan UMNO selepas ini, beliau berkata satu perbincangan telah diadakan hari ini bagi mencapai satu persetujuan bersama.
“Hari ni telah dilaksanakan perbincangan agak lama, penyertaan Tengku Zafrul ada ura-ura sejak tahun lepas.
“Saya percaya persefahaman boleh dicapai atau telah dicapai, saya kurang maklum hal itu. Tapi kita anggap penyertaan Tengku Zafrul dapat memperkukuhkan pasukan PKR,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu yang dianggotainya sejak 1997.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Menurut beliau, tindakan meninggalkan UMNO bukanlah satu keputusan yang mudah, memandangkan parti tersebut merupakan satu-satunya wadah politik yang disertainya sepanjang lebih dua dekad.- KOSMO! ONLINE