‘Saya mesti sentuh al-Quran Braille setiap hari’

1 day ago 13

MEKAH – Seperti seolah-olah mengetahui akan kehilangan penglihatan akibat glaukoma, seorang bekas guru Bahasa Inggeris mula belajar membaca al-Quran Braille sejak lapan tahun lalu.

Menurut Nai’mah Mansor, 64, penglihatannya mula merosot sejak berusia 55 tahun apabila panca indera tersebut semakin kabur sebelum buta sepenuhnya dua tahun lalu.

Ujar ibu seorang anak itu, dia tetap reda selepas berusaha dengan melakukan pembedahan pada mata kanan sebelum doktor memaklumkan matanya tidak akan menjadi terang seperti sedia kala.

“Saya hanya dibantu dengan mata sebelah kiri ketika itu. Selepas pencen saya ambil keputusan masuk kelas Braille. Dari huruf ke huruf saya ambil masa enam bulan dan baca mukaddam lebih kurang setahun.

“Selepas masuk al-Quran terasa susah tapi alhamdulillah bila sudah dapat saya tidak boleh tinggal Braille ini, saya mesti sentuh tiap-tiap hari, walaupun satu jam sehari saya tak boleh tinggal, saya akan teringat,” katanya ketika ditemui di Hotel Land Premium di sini hari ini.

Beliau merupakan salah seorang orang kurang upaya (OKU) yang menerima al-Quran dan buku panduan ibadah haji dan umrah dalam versi Braille yang disampaikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Wanita tersebut yang berasal dar Seberang Takir, Kuala Nerus ditemani anak saudaranya, Noor Surayati Mohamad Usop, 44, sebagai pengiring.

Nai’mah turut memuji buku panduan dan al-Quran Braille yang dikeluarkan hasil kerjasama antara Tabung Haji, Pusat Ibnu Ummi Maktum, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

“Buku panduan ini dapat menjadi rujukan kepada jemaah-jemaah haji. Terima kasih buat Tabung Haji.

“Bagus al-Quran Braille ini sebab itulah saya rasa saya cepat menguasainya, jadi saya terharu bila Allah bagi nikmat ini. Alhamdulillah kini saya sudah boleh mengajar pula Braille kepada pelajar-pelajar lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |