Saya dah pindah, pemilik rumah halau saya – Rahim Omar

18 hours ago 9

KUALA LUMPUR  – Berdepan isu tunggakan bayaran rumah sewa sebanyak RM7,000, pelakon veteren Rahim Omar berjanji tidak akan melarikan diri daripada melunaskan tanggungjawab tersebut.

Menurut Rahim, 66, pintu rezeki yang terbuka pada tahun ini memberi ruang serta sinar baharu buat dirinya menstabilkan semula ekonomi keluarga, sekali gus menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Sekarang ini saya baru nak stabilkan semula ekonomi saya sebab ini saya alami kerugian sehingga mencecah RM500,000 tapi saya tak bercerita pada orang.

“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan cuma orang itu tak sabar, dia tak faham keadaan kita. Kita bukan suka-suka sebab saya pun sebelum ini tak pernah sesusah itu.

“Tapi saya yakin, dengan rezeki tahun ini — insya-Allah saya akan jumpa dia dan akan selesaikan. Saya tidak lari,” katanya kepada Kosmo! Online ketika sidang media pengumuman Kilauan Emas Selebriti 2026, semalam.

Mengulas lanjut, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu sebenarnya berniat mahu membayar secara berperingkat, namun terkilan dengan sikap pemilik kediaman tersebut.

“Saya sengaja tak nak bayar (penuh). Saya nak bayar sikit-sikit dan pergi jumpa dia, tapi dia sombong.

“Saya datang dari jauh-jauh untuk berjumpa dan menunggu dia tapi cara dia cakap itu agak sombong.

“Dia juga sentiasa menghubungi saya sewaktu saya sedang penggambaran tetapi saya tak layan kerana saya tak ada jawapan. Saya tunggu bila dah ada (jawapan), saya akan cari dia,” ujarnya.

Pada masa sama, Rahim mengimbau memori di mana kesukarannya untuk membuat bayaran kerana ketiadaan tawaran kerja.

“Sebenarnya jumlah tunggakan adalah sebanyak RM7,000. Waktu itu saya memang susah, tak ada kerja dari bulan tujuh tahun lepas.

“Jadi saya duduk di rumah pun anak saya dapat bantuan zakat. Zakat memang bayar setiap bulan RM800 cuma saya kena tambah lagi RM300.

“Tapi masa itu, kalau cerita orang macam tak percaya, RM300 pada saya ketika itu memang susah. Tahun ini alhamdulillah saya semakin stabil,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengambil pendekatan reda dan menganggap insiden terbabit sebagai ujian hidup buat dirinya sekeluarga.

“Demi Allah tak kecewa, saya terima. Saya cakap dengan isteri dan anak supaya bersabar, ini ujian.

“Bagi saya Allah nak uji. Ketika umur saya yang dah berumur macam ini, saya perlu hadap, ini semua aturan Allah, kita terima, insya-Allah,” kongsinya.

Meskipun berdepan ujian dahsyat, Rahim kini sudah berpindah ke kediaman yang difahamkan lebih selesa.

“Saya dah pindah sebab dia halau saya. Hari yang dia suruh keluar, macam-macam dia ada ugut saya tapi saya tak cerita pada orang.

“Tapi alhamdulillah bila keluar, ada hamba Allah yang tolong bagi rumah yang lebih selesa kepada saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, seorang individu memuat naik tangkap layar perbualan bersama Rahim dan mendakwa aktor itu gagal membayar sewa selama dua tahun.

Hantaran tersebut dimuat naik selepas nama Rahim diumumkan sebagai salah seorang peserta Kilauan Emas Selebriti 2026.

Perkara tersebut bukan kali pertama berlaku apabila individu tersebut pernah memuat naik tangkap layar perbualan bersama Rahim pada Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |