DALAM deras dunia hiburan tempatan yang sentiasa melahirkan wajah baharu, tidak ramai anak seni mampu mencipta identiti yang benar-benar berbeza.
Bagi penyanyi dan pelakon Layla Sania, keistimewaan sebegitu hadir menerusi kebolehannya menguasai pelbagai bahasa, khususnya bahasa Mandarin, sekali gus membuka ruang lebih luas dalam industri muzik Malaysia yang berbilang budaya.
Pemilik nama penuh Layla Sania Khairuzikri itu bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi pop, malah turut membuktikan kemampuan sebagai pelakon sejak usia kanak-kanak.
Minatnya terhadap dunia hiburan mula terserlah ketika masih kecil apabila aktif menyertai pelbagai program seni persembahan. Bakat semula jadi yang dimiliki membuka peluang kepadanya untuk muncul dalam drama televisyen, telefilem, iklan komersial dan teater, sebelum melebarkan sayap sebagai penyanyi.
Apa yang membezakan Layla dengan kebanyakan artis tempatan adalah penguasaannya terhadap bahasa Mandarin. Berkat pendidikan di sekolah aliran Cina sejak kecil, dia mampu bertutur dengan fasih selain menyampaikan lagu-lagu Mandarin dengan sebutan yang baik sehingga mendapat perhatian masyarakat Cina di Malaysia dan rantau Asia.
Kemampuan tersebut akhirnya menjadi titik tolak kepada perjalanan muziknya. Ketika kebanyakan penyanyi tempatan memberi tumpuan kepada lagu berbahasa Melayu atau Inggeris, Layla memilih laluan yang lebih mencabar dengan menghasilkan karya dalam bahasa Mandarin.
“Saya dilamar syarikat rakaman pada 2019. Ketika itu saya masih di bangku sekolah. Namun, nama saya mula dikenali ramai sejak menyertai rancangan I Can See Your Voice musim ketiga pada tahun 2020.
“Ketika itu saya menyanyikan lagu bahasa Mandarin. Di situ ramai yang mula memandang bakat saya,” katanya membuka bicara.
Perjalanan seni penyanyi berusia 24 tahun itu terus berkembang apabila dia tampil dengan beberapa buah lagu lain sebelum melancarkan single, By Your Side pada 2021. Pada 2023, Layla tampil dengan album sulungnya yang berjudul 1671 yang memuatkan 10 buah lagu.
LAYLA mengakui sangat mengagumi bakat seni Shila Amzah dan berharap suatu hari berjaya menembusi Tembok Besar China seperti penghibur yang merupakan idolanya itu.Tembok Besar China
Ditanya sama ada dirinya ingin melebarkan sayap ke China seperti penyanyi lebih senior, Shila Amzah, kata Layla, impian yang satu itu sudah lama tersemat dalam hatinya.
“Siapa sahaja yang tidak mahu ke China. Tetapi untuk membina kerjaya di sana tidak semudah yang disangka.
“Sebelum ini saya pernah sertai satu pertandingan nyanyian terbitan China iaitu Sing Asia. Namun, saya tak pergi China pun. Pertandingan itu dibuat di atas kapal. Jadi saya menyanyi di Singapura.
“Tetapi baru-baru ini saya ada dapat tawaran untuk menyanyi di sebuah konsert besar di Guangxi, China. Namun, konsert itu terpaksa dibatalkan kerana taufan yang melanda daerah tersebut.
“Terbaharu, minggu lepas saya sepatutnya berangkat ke China, sudah siap packing segala kelengkapan. Tetapi saya dapat panggilan, konsert tersebut terpaksa dibatalkan saat akhir akibat bencana alam yang semakin memburuk,” kongsinya yang agak sedikit kecewa.
Biarpun berasa agak terkilan tak dapat buat persembahan di China, namun tuah tetap menghampirinya apabila Layla menerima undangan membuat persembahan di Hong Kong pada Ogos depan.
BUKAN sahaja nyanyian, Layla juga menyinar di pentas lakonan sehingga pernah diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Wanita dalam FFM32.Shila Amzah?
Disebabkan memiliki persamaan dengan Shila Amzah dari segi imej dan kemampuan menyanyikan lagu Mandarin, ramai yang melabelkan Layla sebagai ‘the next Shila Amzah’.
Namun, kata anak sulung daripada empat beradik itu, Shila Amzah adalah satu nama yang sangat besar, untuk berada sama tahap dengan penyanyi itu perlukan usaha dan kerja keras.
“Bila ada orang cakap saya ‘the next Shila Amzah’, saya akan aminkan. Kalau saya dapat capai separuh daripada kejayaan yang dimiliki Shila, saya akan sangat bangga.
“Saya sangat menghormati Shila. Saya pernah bertemunya sekali. Dia seorang yang sangat manis, tak sombong dan berlagak.
“Tetapi saya tetap akan ingatkan kepada orang ramai bahawa saya Layla Sania. Saya bukan power singer macam Shila. Genre kami juga berbeza,” ujarnya.
Lakonan
Bakat yang dimiliki Layla tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian. Siapa sangka anugerah pertama yang diraihnya dalam lapangan seni adalah menerusi bidang lakonan.
Layla merupakan pemenang anugerah Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-32 menerusi lakonannya dalam filem Small Town Heroes.
“Sewaktu festival itu berlangsung, saya tak dapat hadir kerana sedang jalani penggambaran drama di Genting Highlands.
“Ada calon-calon lain dalam kategori yang sama turut berlakon dengan saya ketika itu. Jadi kami sama-sama tak dapat pergi festival tersebut
“Ketika diberitahu menang, saya tak percaya dan tertanya-tanya sama ada keputusan itu betul atau tidak. Saya tak mahu over react sebab calon-calon lain ada bersama. Jadi saya menangis di dalam kereta.
“Sejujurnya saya rasa ralat kerana tak dapat pergi festival tersebut kerana ketika itu ada seorang wakil berbangsa Cina yang ambil anugerah itu untuk saya. Ramai orang kecam saya ketika itu ingat saya buka tudung,” ceritanya mengenang kembali momen tersebut.
Biarpun lebih sukakan nyanyian, kata Layla, bidang lakonan memberikan satu kepuasan berbeza kerana dia dapat menjadi orang lain.
“Saya suka bila saya lakonkan watak yang berlainan dengan karakter sebenar, macam suatu eskapisme buat saya. Antara karakter yang saya suka adalah dalam drama Jangan Lupa Janji.
“Dalam drama tersebut saya jadi jahat. Yang berlakon dengan saya ketika itu adalah Uqasha Senrose, Ben Amir dan Jazmy Juma. Saya rasa puas setiap kali pergi set penggambaran.
“Skrip drama tersebut ditulis ketika penggambaran masih berlangsung. Pada mulanya watak saya baik, tetapi kemudian bertukar jadi jahat. Pengarah iaitu Michael Ang kata muka saya sesuai dengan karakter tersebut.
LAYLA kini mengikuti pengajian jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah universiti tempatan.Cikgu tadika
Seperkara menarik, sewaktu temu bual ini dilakukan, Layla sebenarnya sedang menjalani latihan amali sebagai guru di sebuah pra sekolah.
Menurutnya selama tiga bulan menjadi pelatih amali di situ atau mudanya sebagai ‘cikgu tadika’, banyak perkara baharu dipelajari.
“Saya sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kini, setiap pagi sampai petang saya merupakan seorang guru selama empat bulan.
“Pengalaman sebagai guru agak menyeronokkan walaupun setiap pagi saya kena tenangkan kanak-kanak yang menangis, saya dukung mereka. Saya rasa sekarang tangan saya sudah berotot kerana setiap hari dukung budak.
“Tetapi saya sangat sukakan kanak-kanak. Saya menyukai mereka lebih daripada orang yang sebaya dengan saya,” kongsinya.
Tamat sahaja latihan amali tidak lama lagi, Layla merancang untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Menurutnya, banyak tawaran yang terpaksa ditolak kerana terikat dengan latihan amali.
“Saya pernah ambil tawaran lakonan ketika jalani latihan amali sewaktu peringkat diploma. Sangat tertekan ketika itu. Jadi kali ini saya tak ambil sebarang tawaran.
“Ada tawaran filem yang datang. Tetapi jadual penggambaran bertembung dengan latihan amali saya. Penggambaran pula dilakukan di Pulau Pinang selama lebih sebulan.
“Jadi dengan berat hati saya terpaksa lepaskan tawaran itu biarpun watak yang ditawarkan adalah watak utama,” dedahnya.
Menyedari dirinya belum mempunyai killer song yang mampu melonjakkan namanya dalam bidang nyanyian, kata Layla dia berhasrat mencari lagu hit Melayu dan Mandarin selepas ini.
“Sejujurnya nama saya lebih dikenali dalam industri muzik Cina. Biarpun video nyanyian saya mendapat tontonan 300 juta di China, tetapi lagu yang saya nyanyikan adalah lagu cover.
“Jadi saya perlukan dua lagu hit, bahasa Melayu dan Mandarin agar nama saya lebih kukuh untuk kedua-dua pasaran muzik ini,” noktahnya yang baru sahaja melancarkan lagu duet bersama Brendonse7an berjudul Blessed To Have You.
ENGGAN berpeluk tubuh dan sekadar berbangga dengan capaian tontonan video dalam YouTube, Layla berharap dikurniakan killer song yang boleh memahat kukuh namanya di persada muzik tempatan. – IHSAN LAYLA SANIA
1 hour ago
2
















































