Saya bertanggungjawab atas Cikgu Fadilah – Abang CCTV & Wiring

1 day ago 9

MELAKA – “Saya sudah buat solat sunat taubat dan akan bertanggungjawab atas cikgu Fadilah,” kata Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini.

Muhammad Hairul atau individu digelar ‘Abang CCTV & Wiring’ yang tular kisah skandal seksnya dengan seorang guru wanita membuat rayuan itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin atas pertuduhan cuba melakukan zina.

Turut didakwa dalam prosiding sama adalah guru terlibat, Nur Fadilah Zainal, 31, yang juga mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Dalam rayuannya, Muhammad Hairul memberitahu ekoran kejadian tular itu perniagaan pendawaian elektrik dan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) yang diusahakannya turut terjejas.

“Saya merayu hukuman denda yang ringan dikenakan kerana sekarang kerja saya terjejas selepas penyebaran berita itu, banyak yang tergendala.

“Saya harap Yang Arif beri pengurangan, saya telah buat solat taubat atas kesalahan zina dan saya ambil tanggungjawab ke atas Cikgu Fadilah,” katanya.

Sementara itu, guru wanita terbabit merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia merupakan penanggung tunggal anak lelakinya berusia empat tahun.

“Hak penjagaan anak ini 100 peratus ke atas saya, selain menanggung kedua ibu dan bapa di kampung.

“Ayah saya sakit semput dan tidak sihat, begitu juga dengan mak. Saya janji tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya dalam nada sebak.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah di sini kira-kira pukul 9 malam, 28 Februari lalu.

Kesalahan dibawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dan dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal bayar.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |