Sapu tepung, najis haiwan demi PK Battle di TikTok

4 hours ago 2

GEORGE TOWN – Pengguna media sosial khususnya anak muda dikatakan semakin terjerat dengan trend ‘PK Battle’ di Tik Tok sehingga ada yang sanggup bertindak menyapu tepung atau najis haiwan pada muka semata-mata mahukan hadiah digital.

Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, permainan antara dua pengguna media sosial yang disiarkan secara langsung itu secara jelas mampu merosakkan gaya hidup dan akhlak anak muda dengan aksi pelik yang dipertontonkan mereka.

Menurutnya beliau, permainan PK Battle kini dilihat semakin terlampau sehingga membuatkan pengguna terbabit sanggup bertindak di luar jangkaan tanpa rasa malu.

“Permainan PK Battle ini nampak geli hati tapi bila kalah, individu tersebut akan berdepan dengan hukuman tidak masuk akal seperti menyapu tepung dan lumur najis haiwan pada muka serta simbah air pada badan yang akan disiarkan secara langsung.

“Malah, kita juga bimbang permainan ini berunsur ‘cuci duit’ kerana nilai hadiah yang diberikan ada kalanya mencecah sehingga RM10,000. Pemberi hadiah digital sanggup menghabiskan duit demi konten pengguna tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru katanya, pihaknya menggesa pihak berwajib mengharamkan ciri ‘PK Battle dalam aplikasi TikTok dalam kadar segera agar anak muda tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang disiarkan.

“Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok bagi menyekat fungsi tersebut daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.

“Malah, kami telah menerima banyak aduan daripada orang awam terutama ibu bapa yang bimbang dengan pengaruh negatif trend tersebut terhadap anak-anak mereka berusia bawah 30-an.

“Ini kerana, mereka sanggup tidak tidur malam demi menonton ‘PK Battle’ dan menunggu hukuman yang akan dikenakan pemilik TikTok tersebut. Secara tidak langsung, tindakan ini memupuk budaya hedonisme dalam kalangan remaja,” jelasnya.

Bukan setakat itu, Francis berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada seorang ibu mendakwa anaknya sanggup mencuri wang semata-mata untuk membeli hadiah dan mahu menyertai aktiviti PK Battle di TikTok.

“PK Battle ini bukan hiburan tetapi satu bentuk penyimpangan sosial yang semakin menjadi kegilaan pengguna media sosial dan perlu dibendung agar muda tidak mudah terpedaya.

“Malah, kami turut menggesa ibu bapa supaya memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelak sebarang tindakan luar jangkaan berlaku,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |