PENYANYI Billie Eilish mendominasi Anugerah Muzik Amerika 2025 (AMA 2025) apabila menggondol tujuh trofi termasuk Artis Terbaik dan Album Terbaik menerusi album Hit Me Hard and Soft.
Komposer berusia 23 tahun itu turut membawa pulang trofi Artis Pop Wanita Terbaik, Artis Jelajah Terbaik, serta Album Pop Kegemaran pada majlis pengiktirafan tersebut, hari ini.
Lagu popularnya, Birds of a Feather juga dinobatkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pop Kegemaran, sekali gus kemenangan besarnya tersebut mengukuhkan posisi sebagai antara bintang muda paling berpengaruh.
Begitupun, Eilish tidak dapat hadir pada acara yang berlangsung di Fontainebleau, Las Vegas berikutan terikat dengan jadual persembahan jelajah Eropah.
“Ini sangat gila. Saya hilang kata-kata. Saya harap boleh berada di sana,” kata Eilish dalam paparan video yang ditayangkan selepas kemenangannya.
Pencapaian luar biasa itu menebus kekecewaan Eilish selepas album Hit Me Hard and Soft yang berada di tangga kedua carta Billboard 200 menjadi album studio pertamanya yang tidak menduduki tempat pertama.
Menggandakan lagi rasa kecewa apabila dia pulang dengan tangan kosong di Anugerah Grammy 2025 pada Februari lalu walaupun dicalonkan dalam tujuh kategori.
Sementara itu, Lady Gaga dan Bruno Mars diiktiraf menerusi kolaborasi lagu Die With A Smile dengan membawa pulang trofi Video Muzik Kegemaran dan Kolaborasi Terbaik.
Gaga juga diumumkan sebagai Artis Dance/Elektronik Kegemaran, juga kemaraan keduanya dalam kategori sama, manakala Mars memenangi trofi Artis Pop Lelaki Kegemaran untuk kali ketiga.
Penyanyi rap Post Malone, Post Malone serta SZA, The Weeknd, Bad Bunny, Beyonce, Eminem dan Twenty One Pilots, masing-masing meraih dua anugerah.
Penyanyi baharu Gracie Abrams dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, manakala Doechii memenangi Lagu Sosial Terbaik menerusi lagu Anxiety.
Taylor Swift yang memegang rekod sebagai penerima terbanyak AMA dengan 40 anugerah pula tidak menambah koleksi tahun ini walaupun menerima enam pencalonan.
Artis lain yang turut berputih mata ialah Chappell Roan dan Shaboozey yang dicalonkan dalam tujuh kategori, serta Sabrina Carpenter (enam pencalonan).
Pada majlis tersebut, legenda pop Janet Jackson menerima Anugerah Ikon dan kembali membuat persembahan di pentas langsung selepas tujuh tahun.
Jackson mempersembahkan lagu Someone to Call My Lover dan All For You sebelum menerima anugerah berprestij itu.
Penyanyi veteran Rod Stewart pula diraikan dengan penyerahan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang disampaikan lima anaknya.
Stewart turut meninggalkan kenangan manis pada acara pengiktirafan yang dikendalikan selebriti sensasi, Jennifer Lopez itu bersama lagu Forever Young. -KOSMO! ONLINE