KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terharu sehingga hampir menitiskan air mata melihat sambutan hebat peminatnya dalam membeli tiket konsert mega tradisional, Mega Bumantara yang bakal berlangsung pada 17 Oktober depan.
Siti, 47, berkata, terdapat peminatnya yang sanggup berhabis ribuan ringgit termasuk mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya untuk mendapatkan tiket konsert tersebut.
“Terharu, rasa kelakar dan rasa nak menangis pun ada sebab mereka merakam serta berkongsi momen ketika ‘battle’ tiket dalam Threads. Ada yang bersungguh-sungguh, mendebarkan tetapi akhirnya kena ‘reject’.
“Melihat momen begitu, peminat-peminat saya tak pernah berhenti untuk bagi sokongan.
“Bila lihat peminat punya kesungguhan sehingga menyimpan duit untuk beli tiket konsert, buatkan saya rasa tidak mahu menghampakan mereka,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui majlis pelancaran kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cuckoo Dream Fund di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dia memberitahu penganjuran konsert tersebut bukan sahaja hadiah untuk peminat tetapi juga inisiatif untuk membawa lagu tradisional dan budaya Malaysia dalam sebuah acara yang gah.
“Sebenarnya saya boleh katakan, penganjuran konsert ini juga sumbangan saya untuk negara dan mahu tunjukkan bahawa kita mampu melakukan persembahan berskala mega walaupun dengan hanya menyanyikan lagu tradisional.
“Insya-Allah, harap Tourism Malaysia juga boleh turut berbangga dengan usaha yang saya lakukan. Ini bukan hasil kerja saya seorang tetapi melibatkan ramai pekerja,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai perkembangan jualan tiket, Siti berkata, setakat ini sudah melebihi 50 peratus yang terdiri daripada pemegang akaun Affin Bank.
“Sekarang ini masih dalam tempoh jualan awal yang hanya dibuka untuk pemegang akaun Affin iaitu selama tiga hari sebelum dibuka kepada orang awam pada 2 Julai depan.
“Sekarang ini jualan awal masing berjalan dan saya dimaklumkan sudah lebih separuh tiket terjual,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti berkolaborasi dengan penyanyi tempatan yang mencipta nama di China, iaitu Firdhaus menerusi lagu Bahasa Mandarin berjudul, Be Like Water.
Video muzik rasmi Be Like Water bakal dilancarkan malam ini dalam platform media sosial. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2

















































