KUALA LUMPUR – Dua premis yang berselindung di sebalik kegiatan salun rambut dengan menawarkan perkhidmatan seks terbongkar dalam serbuan di Kuchai Lama dan Bandar Sri Petaling, di sini semalam.
Serbuan bermula pukul 6 petang itu melibatkan seramai 38 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen (JIM), Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, ketika serbuan, wanita warga asing sedang leka melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.
“Seramai tiga lelaki dan 45 wanita terdiri daripada warganegara Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan Laos berusia di antara 23 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Kita turut menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai ‘penjaga’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi premis berkenaan adalah dengan mengiklankan pakej dandanan rambut dan cucian muka untuk lelaki selain menawarkan perkhidmatan seks.
“Pelanggan boleh membuat tempahan slot melalui aplikasi WeChat dan memilih wanita warga asing di dalam katalog yang dihantar kepada pelanggan.
“Bayaran langganan sekitar RM150 hingga RM250 dan keuntungan perkhidmatan itu dipercayai boleh mencecah RM1,000 hingga RM1,500 sehari,” ujarnya.
Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit memulakan aktiviti perniagaan bermula pukul 3 petang hingga 2 pagi.
Menurutnya, semua wanita warga asing tersebut didapati tinggal di dalam premis itu yang turut menyediakan bilik tidur seperti asrama.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE