KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bakal memperkukuh sistem perlindungan saksi negara, termasuk membolehkan permohonan dibuat bagi pihak saksi yang tidak berkeupayaan di sisi undang-undang serta memperkenalkan bantuan psikologi kepada peserta program.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu tidak mengubah dasar asas Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696), sebaliknya memperkukuh kerangka perundangan sedia ada berdasarkan pengalaman pelaksanaan dan keperluan operasi semasa.
Katanya, kerajaan mengenal pasti empat objektif utama menerusi pindaan tersebut iaitu memperluaskan akses kemasukan ke dalam Program Perlindungan Saksi, memperkukuh tadbir urus program, meningkatkan kebajikan peserta serta meluaskan perlindungan kepada bekas peserta selepas program ditamatkan.
“Fasal 2 bertujuan membolehkan permohonan kemasukan ke dalam Program Perlindungan Saksi dibuat bagi pihak seseorang saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang oleh ibu bapa atau penjaga.
“Fasal 4 pula memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberikan kepada peserta program,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, pindaan itu juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengeluarkan Perintah Tetap bagi pentadbiran dan pelaksanaan Program Perlindungan Saksi menerusi seksyen baharu 29A.
Azalina berkata, cadangan pindaan tersebut dirangka hasil libat urus melibatkan pelbagai agensi termasuk badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta pihak berkepentingan lain sebelum dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 1 April lalu.
Beliau berkata, sepanjang lebih 15 tahun pelaksanaan Akta 696, Program Perlindungan Saksi telah membantu ramai saksi tampil memberi keterangan dalam pelbagai kes jenayah serius seperti pembunuhan, jenayah terancang, pengedaran dadah, penculikan, rasuah dan jenayah seksual.
“Pindaan kepada Akta 696 ini menzahirkan komitmen kerajaan bahawa ‘Negara Melindungi Mereka yang Berani Berkata Benar’, dengan memastikan setiap individu yang tampil memberikan keterangan atau kerjasama kepada pihak berkuasa mendapat perlindungan sewajarnya tanpa rasa takut, ancaman atau intimidasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7















































