Robot Jepun bantu automasi industri tempatan

18 hours ago 6

CYBERJAYA – Syarikat kejuru­tera­an tempatan, DreamEDGE Sdn. Bhd. (DreamEDGE) memuktamadkan kerjasama strategik dengan syarikat pemula robotik dari Jepun, Industry Alpha Inc. menerusi peme­teraian memorandum persefa­haman (MoU) kelmarin bagi mem­percepatkan penggunaan teknologi automasi pintar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Datuk Khairil Adri Adnan berkata, kerjasama itu bukan sekadar memasarkan produk robotik Industry Alpha yang memfokuskan kepada pergerakan dan pemindahan barangan, sebaliknya membangunkan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan tempatan menerusi model penciptaan bersama.

Menurut beliau, pengalaman ham­pir dua dekad DreamEDGE dalam bidang perkhidmatan kejuruteraan dan pembangunan teknologi di Malaysia membo­lehkan syarikat itu membantu Industry Alpha memahami budaya perniagaan tempatan serta mengelakkan kesilapan yang sering dihadapi syarikat asing ketika memasuki pasaran negara ini.

“Penawaran pasaran sedia ada lebih tertumpu kepada penggunaan robotik dari China, kerana banyak pemain industri yang menginginkan penyelesaian yang bersifat lebih murah.

“Apabila berdepan kesukaran, barulah mereka akan mencari syarikat penyelesaian. Penawaran kami bersifat sebaliknya, ia bukan sekadar beli, pasang dan guna.

“Apa yang kami tawarkan adalah penyelesaian lengkap me­rangkumi integrasi sistem, ­penyesuaian mengikut keperluan pelanggan dan sokongan selepas jualan. Selepas produk dijual, di situlah sebenarnya kerja kami akan bermula,” katanya selepas majlis pemeteraian MoU di sini.

Jelas Khairil, sasaran utama kerjasama tersebut adalah syarikat dalam sektor automotif, semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan serta pergudangan yang kini berdepan peningkatan kos operasi dan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing.
Katanya, sebelum MoU tersebut dimeterai lagi, menerusi persefahaman antara beliau dengan

Ketua Pegawai Eksekutif Industry Alpha, Takumi Watanabe, pihaknya telah memperkenalkan penyelesaian itu kepada industri tempatan dan menyasarkan bakal memuktamadkan pelanggan pertama tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat memper­luaskan insentif dan geran padanan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana melaksanakan automasi memandangkan kos pelaburan awal masih menjadi kekangan utama.

“Kami juga sudah berjumpa dengan syarikat pajakan dan mereka berbesar hati untuk ­menyediakan skim bagi syarikat yang tidak mempunyai peruntukan untuk kos permulaan. Jadi, mereka boleh menggunakan penyelesaian kami menerusi bayaran bulanan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |