RM500 insentif suntik semangat pelajar – Siti Nurhaliza

1 day ago 14

PUTRAJAYA – Yayasan Nurjiwa buat julung kalinya memperkenalkan insentif RM500 kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh ‘straight’ A dalam semua mata pelajaran.

Pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, usaha terbabit menunjukkan komitmen pihaknya dalam memperkasa pendidikan untuk anak muda melalui sokongan moral dan kebajikan.

Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik, Yayasan Nurjiwa turut bekerjasama dengan pusat tuisyen terkemuka PTTI yang membabitkan seramai 401 pelajar menerima insentif ini yang keseluruhannya berjumlah RM200,500.

Penghargaan buat kali pertama kepada pelajar cemerlang ini merupakan satu inisiatif bagi menyuntik semangat dalam kalangan pelajar yang sedang berjuang dalam akademik.

“Saya rasa pelajar ini mempunyai semangat luar biasa dalam pembelajaran. Bila ada inisiatif sebegini, mereka lebih berkobar-kobar untuk terus berusaha,” katanya ketika ditemui di Anugerah Apresiasi PTTI, semalam.

Menurutnya, program terbabit antara usaha yayasan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan motivasi pelajar.

“Ini merupakan kali pertama kami melaksanakan inisiatif seumpama ini.

Walaupun belum ada perancangan untuk program susulan, kami tetap komited untuk membantu pelajar yang memerlukan melalui pelbagai bentuk sokongan,” tambahnya.

Selain pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa turut menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar daripada keluarga B40 di universiti terpilih.

Bantuan ini telah berjalan sejak beberapa tahun lalu.

“Setiap hari, kami menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar B40. Kadangkala, sehingga 100 pelajar dipilih untuk menerima bantuan ini,” katanya.

Dia menjelaskan program bantuan makanan itu merangkumi rumah anak yatim dan pelajar-pelajar tersenarai yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

Kami faham terdapat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Justeru, kami akan pastikan bantuan makanan ini disalurkan secara konsisten, dan penerima berbeza setiap hari,” katanya.

Yayasan Nurjiwa, diasaskan Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, aktif melaksanakan program kebajikan berfokuskan pendidikan, kemanusiaan dan pembangunan komuniti.

Antara inisiatif utama termasuk sumbangan Daily Food Infaq, Tabung Sedekah Subuh dan menubuhkan serta mengelolakan operasi Sekolah Afwa & Aafiyah di Gaza.

Kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberi makna besar kepada para pelajar. Semoga mereka terus bersemangat dan yakin untuk melakar kejayaan,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis sama PTTI turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘Most Straight A’s SPM Students in a Tuition’ dan ‘Most Straight A’s Obtained By A Tuition’.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Puan Siti Farhana Abu Osman, berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil kerja keras pelajar, tenaga pengajar dan juga ibu bapa.

“Kejayaan ini bukan sahaja milik PTTI, tetapi milik semua ibu bapa dan pelajar yang tidak pernah putus asa. Ini adalah bukti bahawa pendidikan berkualiti dan sistematik mampu mengubah masa depan seseorang pelajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |