RM21,000 menanti kaki pancing PJ Joran 2026

19 hours ago 8

PETALING JAYA- Hadiah keseluruhan RM21,000 menanti kaki pancing pada Pertandingan Memancing PJ Joran 2026 yang kembali berlangsung di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad ini.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memasuki edisi kelapan itu akan berlangsung pada 20 September ini dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan penyertaan terbuka kepada peminat aktiviti memancing.

Menjelang pertandingan itu, hampir 300 kilogram ikan baung dilepaskan ke Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai antara persediaan bagi memeriahkan PJ Joran 2026.

Ikan baung seberat antara satu hingga dua kilogram seekor itu dijangka menambah cabaran dan keterujaan peserta, selain melengkapkan kepelbagaian spesies ikan sedia ada di tasik berkenaan.

Majlis pelepasan ikan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin bersama Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MBPJ, Ku Mustafa Ku Muhamad.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk  Mohd. Yazid Sairi berkata, penganjuran kali ini dijangka lebih meriah apabila tiga tasik dibuka kepada peserta, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan untuk menentukan lokasi atau ‘spot’ terbaik.

Menurut beliau, pembukaan tiga tasik itu membolehkan peserta merancang strategi masing-masing dalam usaha memburu tangkapan terbaik sepanjang empat jam pertandingan berlangsung.

Tasik berkenaan turut dihuni pelbagai spesies ikan termasuk patin, jelawat, toman, belida, koi, kap rumput, ikan raja, tilapia, keli dan haruan yang memberi peluang kepada peserta memperoleh pelbagai jenis tangkapan.

Mohd. Yazid berkata, PJ Joran 2026 menawarkan hadiah keseluruhan RM21,000 dengan juara bakal membawa pulang RM7,000, sekali gus dijangka meningkatkan persaingan dalam kalangan kaki pancing.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM60 bagi satu joran dengan dua mata kail, manakala T-shirt PJ Joran 2026 disediakan secara terhad kepada 400 penyertaan terawal.

Pendaftaran awal dibuka pada Sabtu, 19 September dari pukul 3 petang hingga 7 malam di khemah memancing MBPJ, Tasik Bandaran Kelana Jaya, manakala pendaftaran pada hari pertandingan bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |