Bapa mentua usia 47 tahun, menantu pula 60 tahun

2 hours ago 2

IPOH – Seorang lelaki berusia 60 tahun mengakui pada mulanya dia agak kekok untuk memanggil bapa mentuanya yang berusia 47 tahun sebagai ayah berikutan perbezaan umur yang ketara.

Menurut Roslan Harun atau mesra disapa Pak Lan, dia ditakdirkan berkahwin dengan wanita muda, Nur Sofea Safina Mohd. Hammali yang berusia 17 tahun kira-kira 10 tahun lalu.

“Mulanya kekok juga nak panggil ayah tapi kena biasakan diri kerana walau macam mana pun, dia tetap bapa mentua saya.

“Lama-kelamaan, hilang perasaan kekok dan walaupun tak rapat, hubungan kami baik, malah boleh bersembang juga bergurau,” kata tukang cat tersebut.

Ujarnya, dia bagaimana pun mula mengatasi rasa kekok tersebut sebelum mencipta keserasian dengan bapa mentua, Mohd. Hammali Mohd. Yusoff, 47, yang 13 tahun lebih muda daripadanya.

“Ibu (mentua), Hashimah Yon, 44, dan bapa mentua saya tak pernah tunjuk tak suka tapi waktu awal perkahwinan dulu, saya dapat rasakannya daripada perlakuan mereka.

“Sebagai menantu, saya buat macam biasa saja dan tak pernah menjauhkan diri. Syukur kerana lama-kelamaan mereka boleh terima. Sekarang kami sudah boleh bergurau senda, cuma setiap kali jumpa bapa mentua, saya tak cium tangannya.

“Tapi saya hulurkan salam dengan pegang kedua-dua tangannya sebagai tanda hormat. Antara kami tiada masalah termasuk dengan ibu mentua dan ipar yang lebih muda daripada saya, malah baru-baru ini kami berkumpul dengan bercuti di Langkawi,” katanya.

Bercerita lanjut, Pak Lan berkata, dia tidak menyangka hatinya terbuka untuk berkahwin buat kali kedua selepas berpisah dengan bekas isteri pada 1998.

Bagaimanapun, katanya, dia menganggap perkahwinan dengan isterinya itu sebagai jodoh dan aturan terbaik Allah SWT walaupun ditakdirkan berkahwin lagi pada usia 50 tahun.

“Saya percaya Allah SWT yang membuka hati saya untuk berkahwin lagi kerana ikutkan sudah muak dengan wanita selepas gagal dalam perkahwinan pertama.

“Tapi sudah sampai jodoh agaknya dan entah kenapa, isteri menaruh perasaan terhadap saya walaupun hubungan awal kami seperti anak dan bapa angkat. Terkejut juga bila isteri luahkan perasaan dan lama juga fikir tapi kerana tak nak hampakannya, saya terima.

“Saya tak tahu apa keistimewaan saya pada pandangan matanya namun mungkin dia jatuh cinta kerana saya ambil berat sampai sakit peningnya pun saya peduli hingga bawa ke klinik selain beri nasihat jika diminta,” katanya.

Sementara itu, menurut Sofea yang ketika ini berusia 27 tahun, mengakui tidak menyesal berkahwin awal iaitu ketika berusia 17 tahun kerana menganggap suaminya itu sebagai ‘imam’ yang tepat buatnya.

“Jarak usia 33 tahun bukan halangan untuk mereka menjadi teman hidup satu sama lain kerana perkahwinan itu dibina atas dasar cinta, bukannya aturan keluarga jauh sekali terpaksa.

“Saya berkenalan dengan Pak Lan ketika bekerja sebagai pelayan di kedai makan dan kematangan juga layanan baik suami membuatkan saya terpikat. Saya pernah bercinta dengan lelaki muda yang umurnya lebih kurang saya tapi hubungan kami tak lama.

“Selepas mengenali suami, saya jatuh cinta dengannya, mungkin kerana sikapnya yang ambil berat terhadap saya. Saya pun tak tahu macam mana boleh berputik perasaan itu kerana awalnya anggap seperti bapa angkat saja.

“Tapi jodoh menyatukan kami dan tak pernah pujuk emak dengan ayah untuk terima, malah daripada awal lagi saya berterus terang mengenai hubungan kami sebelum luahkan hasrat nak berkahwin dengan suami,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |