PUTRAJAYA – Mana-mana pihak dilihat tidak tidak wajar untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan segera bagi mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) buat masa ini.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Misrinah Misban berkata, pelaksanaan PRU16 tidak perlu didesak berikutan Perdana Menteri kini dalam fasa membersihkan negara daripada segala salah laku dan perbuatan rasuah.
“Sepatutnya semua pihak menghargai usaha ini dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu, beri Anwar peluang untuk bersihkan negara.
“Apa yang sedang Perdana Menteri lakukan ini sangat penting untuk kemajuan masa akan datang walaupun ada pihak yang melihat ia sebagai bermotif politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Perdana Menteri digesa tidak melayan desakan UMNO supaya PRU diadakan lebih awal kerana masih banyak agenda rakyat khususnya berkaitan ekonomi serta kesejahteraan yang perlu diberikan keutamaan.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk terlalu tergesa-gesa mendesak supaya PRU16 diadakan.
Katanya, ia kerana kerajaan pada hari ini masih stabil dan mempunyai mandat untuk mentadbir.
Jelasnya, pilihan raya adalah proses demokrasi yang penting, tetapi pentadbiran negara tidak seharusnya sentiasa berada dalam mod pilihan raya.
Beliau menjelaskan, kerajaan pimpinan Anwar perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan agenda yang sedang dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh tatakelola, membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta menutup ruang ketirisan dalam sistem pentadbiran negara.
“Usaha membersihkan negara tidak boleh dilihat hanya dalam konteks menangkap atau mendakwa individu tertentu, tetapi lebih penting ialah membina sistem dan institusi yang dapat mencegah perkara sama daripada berulang pada masa hadapan.
“Sebab itu reformasi seperti memperkukuh ketelusan perolehan kerajaan, kebebasan maklumat, mekanisme semak dan imbang serta akauntabiliti institusi perlu diberikan masa untuk diselesaikan dan kemudian dinilai keberkesanannya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, memberi ruang kepada Perdana Menteri menyelesaikan agenda ini bukan bermaksud kerajaan diberikan cek kosong.
“Kerajaan tetap perlu dipantau oleh Parlimen, media, masyarakat sivil dan rakyat. Setiap tindakan penguatkuasaan juga mesti berasaskan undang-undang, bukti dan proses yang adil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang.
“Justeru, saya melihat keutamaan sekarang sepatutnya diberikan kepada kestabilan pentadbiran, pemulihan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta penyempurnaan reformasi institusi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6




![[VIDEO] Serangan dron ke Mekah dipatahkan, jemaah umrah selamat – PU Rahmat](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/dc9c72ee-7d6b-4c43-b6dd-50b18e33db9b.jpeg)






































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





