Le’Best Band ungguli perbarisan Hari Kebangsaan

5 hours ago 6

Le’Best Band, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong membuktikan kehebatan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Perarakan dan Perbarisan

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri Terengganu baru-baru ini.

Lebih manis, kumpulan berkenaan turut mengungguli kategori Pancaragam Sekolah menerusi persembahan bertenaga yang menyerlahkan kekemasan formasi, disiplin tinggi serta semangat patriotik.

Pancaragam Sultan Sulaiman Marching Band menduduki tempat kedua, manakala Pancaragam SWADAYA SMK Chung Hwa Wei Sin di tempat ketiga bagi kategori berkenaan.

Sebagai johan keseluruhan, Le’Best Band menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan dan sijil, selain RM5,000 atas kejuaraan bagi kategori Pancaragam Sekolah.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Lembah Bidong merangkap jurulatih Le’Best Band, Mat Dahalan Ismail berkata, pencapaian berganda itu adalah hasil kesungguhan pelajar yang tidak pernah mengambil mudah sesi latihan.

Menurutnya, anggota kumpulan sanggup menjalani latihan dalam tempoh panjang dan keadaan cuaca panas semata-mata untuk memastikan persembahan berada pada tahap terbaik.

“Bukan mudah untuk mereka kekal konsisten kerana latihan memerlukan tenaga, masa dan disiplin yang tinggi.

“Bagaimanapun, mereka tetap hadir dan berlatih bersungguh-sungguh, walaupun berdepan cuaca panas serta keletihan kerana mahu memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Dia berkata, setiap sesi latihan turut memberi tumpuan kepada ketepatan pergerakan, susunan formasi, kawalan disiplin dan keseragaman antara anggota.

Katanya, semua elemen itu penting kerana persembahan pancaragam bukan hanya dinilai berdasarkan kemahiran muzik, sebaliknya turut membabitkan koordinasi dan kerjasama keseluruhan pasukan.

“Setiap seorang ada tugas masing-masing dan mereka perlu saling bergantung antara satu sama lain.

“Kalau seorang sahaja tidak memberikan komitmen, ia boleh menjejaskan keseluruhan persembahan,” katanya.

Mat Dahalan berkata, kejayaan itu menjadi penghargaan terbaik kepada para pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga sepanjang tempoh persediaan.

AHLI kumpulan Le’Best Band bergambar kenangan selepas berjaya meraih johan keseluruhan dan kategori Pancaragam Sekolah.

Menurutnya, pencapaian berkenaan juga diharap dapat menyuntik semangat kepada pelajar lain untuk melihat aktiviti kokurikulum sebagai platform mengembangkan bakat dan membina keyakinan diri.

“Ini bukan sekadar tentang piala atau kemenangan, tetapi pengalaman yang mereka lalui sepanjang latihan mampu membentuk disiplin dan jati diri.

“Saya harap pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Le’Best Band, Tuan Aniq Asyraf Tuan Zawari, 17, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kenangan paling bermakna sepanjang penglibatannya dalam kumpulan berkenaan.

Katanya, 2026 merupakan tahun terakhirnya bersama Le’Best Band, sekali gus menjadikan kemenangan tersebut sesuatu cukup istimewa untuk dikenang.

“Saya memang sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menamatkan tahun terakhir bersama kumpulan ini dengan satu pencapaian besar.

“Pada awalnya, saya sendiri tidak menjangkakan kami akan menang kerana pasukan lain juga sangat kuat,” katanya.

Menurutnya, persaingan sengit menyebabkan setiap anggota perlu memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan persembahan mereka tidak kurang berbanding kontinjen lain.

Katanya, sokongan antara anggota menjadi antara faktor yang membantu mereka kekal fokus sepanjang tempoh persediaan.

“Latihan memang memenatkan, terutama apabila dilakukan untuk tempoh lama, tetapi kami cuba jadikan setiap sesi sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan.

“Kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain supaya teruskan usaha, walaupun penat,” katanya.

Tuan Aniq berkata, sepanjang bersama Le’Best Band, dia memperoleh banyak pengalaman terutama berkaitan disiplin, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Menurutnya, pengalaman itu menjadi satu kenangan yang akan dibawa selepas meninggalkan sekolah kelak.

“Saya belajar bahawa untuk capai sesuatu, kita tidak boleh bergantung kepada seorang sahaja.

“Semua orang perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dia berharap barisan pelapis Le’Best Band mampu meneruskan momentum kejayaan yang dicapai pada tahun ini.

Katanya, anggota senior perlu membantu membimbing pelapis supaya tradisi kecemerlangan kumpulan itu dapat diteruskan.

“Saya harap adik-adik dapat teruskan apa yang sudah kami mulakan. Jangan takut untuk mencuba dan jangan cepat mengalah kerana latihan yang konsisten akhirnya akan membuahkan hasil,” katanya.

Kemenangan berganda itu menjadi hadiah bermakna buat warga SMK Lembah Bidong yang sentiasa menyokong penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum.

Kejayaan Le’Best Band turut memperlihatkan bahawa disiplin, latihan berterusan dan semangat sepasukan mampu menghasilkan persembahan yang bertenaga dan meninggalkan impak.

Dengan pencapaian tersebut, Le’Best Band kini mempunyai satu lagi kenangan manis untuk menjadi inspirasi kepada generasi baharu kumpulan berkenaan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |