Keputusan mohon kebenaran semakan kehakiman hapus subsidi diesel, 16 November

1 day ago 12

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 16 November bagi keputusan permohonan kebenaran dua lelaki untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan perdana menteri, kerajaan dan tiga menteri kabinet menghapus serta menyasarkan subsidi diesel di semenanjung.

Hakim Hakim Norliza Othman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.

Terdahulu Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali berhujah keputusan untuk menghentikan subsidi tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman kerana keputusan tersebut bukan dikawal selia di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bertulis.

“Pemberian atau penghentian subsidi bukan suatu hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang, sebaliknya merupakan bentuk bantuan kewangan dan ia keputusan dasar yang tidak boleh diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohaji Selamat mewakili dua pemohon itu berkata keputusan berkenaan boleh disemak oleh mahkamah kerana ia tidak membabitkan perkara seperti keselamatan negara atau kuasa prerogatif tertentu yang lazimnya tidak boleh dihakimi.

“Keputusan kerajaan berhubung subsidi diesel tertakluk kepada undang-undang, termasuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6(2)(g) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Perkara 8 (1) menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama. Jadi, kenapa rakyat di semenanjung tidak mendapat subsidi sedangkan pada ketika itu subsidi tanpa had diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut Mohaji, isu berkenaan tidak seharusnya dianggap akademik hanya kerana kerajaan mengembalikan subsidi diesel di semenanjung secara berperingkat.

Pada 7 Oktober 2024, dua lelaki iaitu Azhani Marlan @ Abd Halim, 49, dan Mohd. Hatta Sanuri, 50, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keenam.

Berdasarkan permohonan dua individu itu memohon antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan pada 9 Jun 2024 untuk menghapuskan subsidi diesel dan menyasarkan harga runcit diesel kepada RM3.35 seliter, berbanding RM2.15 sebelumnya (kenaikan 56 peratus), berkuat kuasa 10 Jun 2024 di semenanjung, namun diberikan pengecualian Sabah dan Sarawak, adalah batal dan tidak sah di sisi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |