RM1.1 juta hadiah wira Glasgow

11 hours ago 12

SEPANG – Kejayaan kontinjen negara mengatasi sasaran lapan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 terus disusuli khabar gembira apabila atlet-atlet negara bakal menikmati ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kerajaan menghargai pengorbanan atlet yang mengharumkan nama negara dengan setiap pemenang pingat emas menerima RM80,000, selain bonus tambahan RM10,000 sekiranya berjaya memecahkan rekod temasya.

“Untuk SHAKAM, kita memberikan berdasarkan pingat. Kalau untuk pingat emas, kita berikan RM80,000 dan jika dia melepasi rekod pertama ataupun ‘break the record’, kita tambah sebanyak RM10,000.

“Kemudian perak sebanyak RM40,000 dan juga gangsa sebanyak RM20,000,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

TAUFIQ Johari mengumumkan ganjaran keseluruhan SHAKAM berjumlah RM1.1 juta kepada atlet yang mengharumkan nama negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di KLIA, hari ini. – FOTO: FAISOL MUSTAFA

Beliau berkata, peruntukan RM1.1 juta itu melibatkan semua atlet yang menyumbang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, selain memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan kadar ganjaran SHAKAM pada masa depan.

“Di peringkat MSN, kita sedang berbincang untuk peningkatan wang SHAKAM ini. Sudah pasti ia memerlukan perbincangan yang lebih mendalam supaya kita mendapat sumber kewangan bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi juga pihak korporat.

“Secara keseluruhannya untuk kali ini, RM1.1 juta wang SHAKAM disalurkan kepada atlet-atlet kita yang berjaya merangkul pingat-pingat tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Taufiq menyifatkan pencapaian kontinjen negara di Glasgow sebagai petanda positif menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya September depan selepas pendekatan menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat berjaya memberikan impak yang diharapkan.

Menurutnya, sasaran awal lima emas bukan sahaja berjaya dicapai, malah dilepasi apabila kontinjen negara meraih lapan emas meskipun menghantar jumlah atlet yang lebih kecil berbanding edisi terdahulu.

“Ketetapan dan juga sasaran pingat kita sebelum ini, kita telah membuat sedikit perubahan iaitu sasaran tidak hanya pingat secara keseluruhan, tetapi berdasarkan warna. Alhamdulillah kita mencapai sasaran tersebut dan langkah berani ini pada akhirnya membuahkan hasil untuk kita semua,” ujarnya.

Beliau percaya momentum cemerlang yang dipamerkan di Glasgow perlu diteruskan kerana ia membuktikan atlet negara berada di landasan terbaik untuk menghadapi cabaran lebih besar pada Sukan Asia Aichi-Nagoya nanti. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |