Restoran tidak guna bahasa kebangsaan dikompaun

4 hours ago 2

LUMUT – Sebanyak 28 kompaun bernilai RM250 setiap satu dikeluarkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) terhadap lapan premis makanan di daerah ini yang melakukan pelbagai jenis kesalahan baru-baru ini.

Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri, operasi yang dilaksanakan Unit Premis Makanan dan Penjaja, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM telah melakukan pemeriksaan terhadap 17 buah premis di kawasan pentadbirannya.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk penempatan meja tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kegagalan memperbaharui lesen premis perniagaan.

“Selain itu, satu notis penutupan premis dalam tempoh 24 jam telah dikeluarkan terhadap sebuah premis yang didapati beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak memuaskan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, arahan pembersihan serta-merta turut dikeluarkan berdasarkan penemuan semasa semakan penggredan kebersihan dijalankan.

Muhammad Faizal Shah berkata, sebagai langkah berterusan dalam memastikan kepatuhan terhadap peraturan kesihatan awam dan keselamatan makanan, MPM akan meneruskan operasi pemeriksaan berkala secara berjadual dari semasa ke semasa.

“MPM ingin mengingatkan kepada semua pemilik premis makanan serta para peniaga agar sentiasa mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal berbuat demikian demi menjamin kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan pengguna,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 323 notis arahan tukar paparan iklan telah dilaksanakan MPM antara 2022 hingga tahun lalu terhadap premis yang gagal mematuhi Undang-Undang Kecil Papan Iklan Majlis Perbandaran Manjung 2013 (UKK Iklan 2013).

“Ia dijelaskan di Bahagian 11, Perkara 3(1) berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu perkataan dan huruf bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dalam warna dan kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan, huruf atau tulisan dalam bahasa lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |