Remaja maut rempuh Myvi sebelum tercampak, dilanggar Toyota Vios

5 hours ago 5

PONTIAN – Malang tidak berbau, perjalanan seorang remaja ke tempat kerjanya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui maut selepas motosikal ditunggang terlibat dengan kemalangan tiga buah kenderaan di Kampung Penerok di sini pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Nur Shahira Danish Abdullah, 18, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, badan, kaki dan tangan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RSX dalam perjalanan dari Kukup ke Pontian untuk ke tempat kerjanya di sebuah kilang membuat biskut di Kampung Rimba Terjun.

“Ketika sampai di Kilometer 11 Jalan Pontian-Kukup, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang guru, membelok ke kanan untuk keluar simpang namun memasuki laluan motosikal yang ditunggang oleh mangsa.

“Akibat perlanggaran tersebut, Nur Shahira tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar pula oleh sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah Pontian ke Kukup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Tambah Mohammad Shofee, pemandu kedua-dua kereta tersebut tiada mengalami sebarang kecederaan namun kenderaan Perodua Myvi remuk dibahagian hadapan, manakala Toyota Vios tiada kerosakkan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang cuai ketika keluar simpang lalu memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal Nur Shahira,” jelasnya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan ini, sila tampil di Pejabat Trafik IPD Pontian atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Aiman Faiz Jusoh, talian telefon 011-26561677 untuk membantu siasatan ini,” jelas beliau lagi.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |