Rasuah lebuh raya, SPRM sita RM86 juta aset mewah Tan Sri

1 day ago 7

PUTRAJAYA- Pelbagai aset termasuk kediaman mewah serta akaun bank dianggar bernilai kira-kira RM86 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sitaan itu yang turut melibatkan aset seperti kenderaan, beg tangan, barangan kemas, jam tangan mewah dan hartanah dibuat susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, turut dibekukan 14 akaun individu serta lapan akaun syarikat susulan penggeledahan dilaksanakan Bahagian Siasatan SPRM di kediaman milik individu itu terletak di ibu negara baru-baru ini.

“Menerusi siasatan awal, SPRM mengenal pasti modus operandi digunakan untuk menyeleweng dana berkenaan ialah dengan menyalurkan dana itu kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri berkenaan.

“Ia dibuat melalui beberapa transaksi berjumlah ratusan jutaan ringgit.

“Wang tersebut kemudiannya diagihkan kepada syarikat dan individu tertentu termasuk akaun Tan Sri yang bertindak sebagai penggerak utama,” katanya hari ini.

Sumber berkata, dana itu seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit

Katanya, dana itu dipercayai digunakan bagi pembelian pelbagai aset termasuk melakukan aktiviti perjudian.

“Dana itu turut digunakan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan dilakukan melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis bertujuan mengaburi sumber asal dana,” katanya.

Sumber turut memberitahu, setakat ini SPRM telah merakam percakapan seramai 45 individu dan dijangka akan memanggil antara 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan.

“Selain telah merakam percakapan seramai 45 individu, SPRM telah memanggil Tan Sri beserta isterinya untuk dirakam percakapan semalam.

“Bagaimanapun individu berkenaan tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.

“Selain pasangan suami isteri tersebut, anak-anak mereka dan juga individu yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.

Dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini, selain menyita pelbagai aset mewah, SPRM turut menemui sebuah setor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Ia turut dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |