Rasuah lebuh raya: RM143 juta untuk beli aset, arak dan judi

1 day ago 7

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti jumlah sitaan sebanyak RM143 juta melibatkan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya menerusi operasi yang dijalankan sejak minggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan itu melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta selain lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta.

Katanya, sitaan itu turut melibatkan unit kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta serta sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.

Ketika ini, 13 buah kereta dilaporkan masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

“Turut disita ialah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, tas tangan bernilai RM3 juta, barang kemas serta berlian bernilai RM6 juta serta empat kuda bernilai RM400,000.

“Sitaan turut melibatkan minuman beralkohol bernilai RM3 juta selain aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta ⁠aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta.,” katanya sebentar tadi.

Azam berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion.

Katanya, ia melibatkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 billion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya.

Azam berkata, hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Katanya, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).

“Sehingga kini SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri kerana beliau masih berada di wad salah sebuah hospital swasta dan hari ini pegawai siasatan akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatannya sebelum dirakamkan keterangan.

“Sementara itu, jumlah keterangan saksi sehingga hari ini masih kekal dengan 45 orang dan saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Azam turut menjelaskan pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.

“Siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain,” jelasnya.

Pada masa yang sama, notis pengistiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |