PUTRAJAYA – Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas, 50, dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 kerana menerima rasuah berkaitan prosiding jenayah yang dikendalikannya, tujuh tahun lalu oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen iaitu penjara enam bulan dan denda RM25,000.
Dengan hukuman itu, panel berkenaan sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 atas kesalahan tersebut.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Nazlan tegas menyatakan, kesalahan yang dilakukan Azmil Muntapha adalah serius lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan tanggungjawabnya melaksanakan tanggungjawab kehakiman.
“Lebih serius, dalam kes ini jenayah dilakukan oleh penjawat awam, bukan sebarang orang tetapi seorang hakim Mahkamah Sesyen.
“Ini seharusnya menghancurkan amanah dan tanggungjawab serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan melemahkan sistem pentadbiran keadilan negara,” ujar beliau.
Kata Hakim Mohd. Nazlan, hakim Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap faktor mitigasi dan pemberatan serta prinsip undang-undang sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebaliknya, kata beliau, wujud kekhilafan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada hukuman penjara sehari.
Pada prosiding itu, pendakwaan selaku perayu diwakili, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Dr. Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali dan Elyza Amira Habeeb Rahman.
Sementara Azmil Muntapha diwakili peguam bela Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Hamdan Hamzah dan Mona Lubon.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar Azmin yang memohon untuk mengekalkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadapnya.
Azmil Muntapha pada asalnya disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dihukum penjara enam bulan serta denda RM25,000, kerana menerima rasuah RM5,000 yang berkaitan dengan prosiding mahkamah dikendalikannya.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumka bahawa, AGC telah mempertimbangkan representasi Azmil Muntapha dan memutuskan untuk menolaknya.
Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 ke atas Azmil Muntapha, selepas mendapati beliau bersalah menerima rasuah RM5,000 atas kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen dalam prosiding kes jenayah yang melibatkan enam tertuduh.
Mereka ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Rumah Perjudian Awam 1953 (Akta 289), serta telah didenda oleh Azmil Muntapha atas kesalahan tersebut.
Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam, pada 10 Mei 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE