Ramai pelatih wanita PLKN nak masuk tentera

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Lebih separuh pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 menyatakan minat tinggi untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan latihan selama lebih sebulan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, hasil analisis terhadap pelatih wanita Siri 2, program ini berjaya menarik minat 114 pelatih untuk menyertai ATM manakala 20 orang menunjukkan minat terhadap bidang keselamatan seperti polis, bomba, imigresen dan kastam.

Katanya, PLKN terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi muda berdisiplin, berwawasan dan bersedia menyumbang kepada negara.

“PLKN bukan sekadar membentuk disiplin, tetapi juga membuka laluan kepada pelatih untuk menyertai badan beruniform serta bidang kerjaya lain seperti perguruan dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu majoriti pelatih wanita pada siri kali ini berminat untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT)

“Seramai 132 orang berminat menyambung pengajian, 43 orang akan memulakan kerjaya dan 12 orang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penekanan terhadap aspek jati diri, ketahanan mental serta kesedaran isu-isu siber terus diberi perhatian dalam modul latihan terkini.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan berharap kerjasama berterusan daripada ibu bapa dan masyarakat dapat membantu memastikan kejayaan program ini demi melahirkan wira serta wirawati muda yang mampu menyumbang kepada keselamatan serta pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |