Ramai kongsi pengalaman, majikan Cina lagi kisah pasal waktu solat

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Dakwaan seorang pekerja bahawa majikan Melayunya mengehadkan tempoh untuk makan dan menunaikan solat mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Menerusi satu hantaran di laman Threads, pengguna @Randommieee__ berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama individu dipercayai majikannya berhubung tempoh rehat yang diberikan kepada pekerja.

Menurutnya, dia telah memaklumkan bahawa tempoh sekitar 30 minit diperlukan hanya untuk menunaikan solat memandangkan surau terletak agak jauh dari tempat kerja.

“Saya memaklumkan bahawa solat sahaja mengambil masa kira-kira 30 minit kerana surau berada agak jauh dari premis,” katanya.

Bagaimanapun, majikannya didakwa mencadangkan tempoh rehat selama 40 minit untuk makan dan menunaikan solat, selain meminta pekerja tidak menggunakan kenderaan untuk ke surau.

Dalam hantaran susulan, pengguna itu turut mendakwa semua pekerja lelaki di premis berkenaan tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana perlu bergilir menjaga operasi kedai.

“Semua pekerja lelaki tidak pergi menunaikan solat Jumaat kerana perlu menjaga kedai,” dakwanya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi apabila ramai netizen berkongsi pengalaman berbeza bersama majikan bukan Islam yang didakwa lebih memahami keperluan pekerja Muslim.

Seorang pengguna, @Kamarulchekamal berkata, bekas majikannya yang berbangsa Cina akan menghentikan urusan kerja setiap kali masuk waktu solat.

“Sebaik sahaja azan selesai berkumandang, majikan akan meminta kami pergi menunaikan solat terlebih dahulu dan mendoakan agar urusan syarikat dipermudahkan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Nsaffx, turut mendakwa majikannya akan menghentikan mesyuarat apabila masuk waktu Asar bagi memberi laluan kepada pekerja menunaikan solat.

“Jika mesyuarat sedang berlangsung ketika masuk waktu Asar, kami akan berhenti seketika untuk menunaikan solat sebelum menyambung semula perbincangan,” katanya.

Sementara itu, pengguna @Namene122 berkata syarikat tempatnya bekerja memberikan tempoh rehat yang lebih panjang pada hari Jumaat dan waktu Zuhur bagi membolehkan pekerja Muslim menunaikan ibadah dengan lebih selesa.

“Pada hari Jumaat, syarikat memperuntukkan waktu rehat dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang bagi membolehkan pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |