Ramai dapat ‘panggilan’ haji untuk 2027, 2028

9 hours ago 7

PETALING JAYA – Umat Islam berkongsi berita mereka menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung notofikasi peringatan kepada bakal haji dalam tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata berkongsi tangkap layar SMS yang diterima selain berdoa dan berharap dapat menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu pada tahun giliran masing-masing.

Seorang pengguna Threads Nazzrahman93 memuat naik SMS diterimanya iaitu, ‘Tahniah, Anda berada dalam Tahun Giliran Haji 1448H/2027M. Cukupkan RM15,000 simpanan dalam akaun TH untuk layak terima Surat Tawaran Haji’.

“Berdebar pula rasa, banyak sangat dosa aku ni. Alhamdulillah, saya daftar Disember 2009 umur 16 tahun. Semestinya ibu bapa daftarkan dan tolong topup (tambah) duit dalam akaun setiap bulan sampai saya kerja sendiri,” katanya membalas komen pengguna Threads lain.

Pengguna Threads Ilonghaffiz turut berkongsi SMS diterima berhubung giliran haji pada tahun depan.

“Selepas tak dapat pergi haji tahun ni sebab BMI (indeks jisim badan) terlebih, akhirnya dah mula dapat seruan untuk tahun depan. Korang yang dah selamat menunaikan haji, mohon kongsikan tip dan tricks (taktik),” katanya.

Pengguna Threads Kakmin.share juga mendapat notifikasi yang sama dan ini kali kedua dia menerima SMS tersebut daripada TH.

“Allahuakbar, ini kali kedua dah dalam giliran. Pertama hari tu terpaksa tolak. Sahabat-sahabat, nak minta doakan Min dapat pergi tahun ni (2027) boleh? Doakan Min Allah cukupkan untuk pergi haji,” katanya.

Pengguna Threads Laylanuraliya pula memuat naik tangkap layar SMS berhubung mendapat giliran haji pada tahun 2028.

“Doakan saya dapat buat haji 2028 nanti. Dapat SMS TH macam ni pun dah rasa happy (seronok),” katanya.

Terdahulu, TH telah mengeluarkan notifikasi peringatan kepada bakal jemaah haji dalam tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M untuk membuat persediaan awal.

TH dalam kenyataannya memaklumkan, persediaan awal itu terutamanya dari segi kesihatan, kewangan, kemas kini maklumat serta penguasaan ilmu fardu ain dan ibadah haji. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |