Ramai cuba dekat, hantar makanan – Dr. Fie

7 hours ago 3

SUBANG JAYA – Pempengaruh media sosial, Dr. Fie mengakui gelaran ‘janda kuat melaram’ yang diberikan sesetengah pihak kepadanya meninggalkan impak mendalam.

Dr. Fie atau nama sebenarnya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 37, berkata, tanggapan negatif segelintir masyarakat terhadap ibu tunggal menyebabkan mereka mudah menjadi sasaran kecaman tanpa usul periksa.

“Itu (gelaran) sebenarnya satu tekanan. Bila orang nampak ibu tunggal yang suka berhias dan bersiap, ada yang cepat menjatuhkan hukuman.

“Kami hanya mahu meneruskan kehidupan dan mencari rezeki untuk anak-anak. Tidak  menyusahkan orang. Memang agak kurang selesa.

“Kata-kata sebegini juga boleh mengganggu urusan pekerjaan kita lebih-lebih lagi orang berniaga macam saya,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Blossom Rally Picklerball 2026 di Tomaz Picklerball Club, hari ini.

Menurut bekas isteri kepada penyanyi Nubhan itu, stigma negatif dilemparkan juga membuatkan ada lelaki cuba mendekatinya dengan cara tertentu.

“Ramai juga cuba mendekati saya dengan pelbagai cara sehingga saya tidak tahu siapa yang benar-benar ikhlas (berkawan).

“Ada yang datang ke tempat saya dengan alasan mahu menghantar makanan dan pada masa sama mencari saya.

“Perkara sebegitu membuatkan saya kena lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Fie menegaskan episod perceraian bukan pengakhiran hidup, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bangkit.

Katanya, kerja keras terutama dalam bidang  perniagaan termasuk mengeluarkan produk minuman, Dresella Advance adalah demi masa depan anak-anak.

“Bagi saya, titik terendah itu adalah satu permulaan untuk saya bangkit. Sebagai wanita, bukan diri sendiri sahaja yang perlu difikirkan tetapi anak-anak juga bergantung kepada kita

“Saya tak mahu menyusahkan bekas suami kerana sekarang ibunya sedang sakit. Biarlah dia fokus menjaga ibunya, saya pula fokus menjaga anak-anak.

“Walaupun tiada perbincangan khusus, saya rasa kami masih boleh bekerjasama sebagai satu pasukan,” kongsinya.

Menyentuh soal jodoh, Dr. Fie mengakui terbuka menerima kehadiran orang baharu, namun enggan mengulangi pengalaman atas harapan ingin menjalani kehidupan yang lebih tenang.

“Sementara belum ada yang melamar, saya akan ‘go all out’ dengan kerja. Kalau sudah ada yang melamar nanti, lain ceritalah.

“Saya terbuka kalau ada yang datang, tetapi kalau boleh bukan dari industri hiburan,  sekarang saya cuma mahukan kehidupan tenang dan lelaki lebih matang,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Fie dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015 namun bercerai talak dua 2 Disember 2025.

Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayillle, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |