Rakyat Korea Selatan keluar mengundi

1 day ago 19

SEOUL – Rakyat Korea Selatan keluar mengundi hari ini untuk memilih presiden baharu, enam bulan selepas bekas pemimpin, Yoon Suk-yeol menjerumuskan negara itu ke dalam huru-hara politik dengan pengisytiharan undang-undang tentera yang membawa bencana.

Segelintir pengundi warga emas berbaris di pusat mengundi di kawasan Munrae-dong, Seoul seawal  pukul 6 pagi (waktu tempatan) untuk membuang undi ketika pengundian bermula.

“Kami adalah yang pertama tiba dengan harapan calon kami akan dipilih kerana pilihan raya presiden sangat penting,” kata Yu Bun-dol, 80, kepada AFP.

Berjuta-juta penduduk telah pun membuang undi dalam pilihan raya mengejut itu, dengan lebih satu pertiga daripada keseluruhan pengundi berdaftar berbuat demikian minggu lalu semasa dua hari pengundian awal berlangsuang , demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

Semua tinjauan pendapat utama meletakkan calon liberal, Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik berada di hadapan, dengan tinjauan terbaharu Gallup menunjukkan 49 peratus responden melihat beliau sebagai calon terbaik.

Kim Moon-soo daripada parti pimpinan Suk-yeol, Parti Kuasa Rakyat (PPP), mengekori  Jae-myung dalam tinjauan pendapat dengan mendapat 35 peratus sokongan.

“Kesan daripada pengisytiharan undang-undang tentera yang menyebabkan Korea Selatan tidak mempunyai pemimpin untuk bulan pertama penggal kedua Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, adalah kebimbangan utama bagi pengundi,” kata seorang pakar politik.

Pemecatan Suk-yeol berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang menyaksikan tentera dikerahkan ke Parlimen, menjadikan beliau presiden konservatif kedua berturut-turut yang dilucutkan jawatan selepas Park Geun-hye pada 2017.

Presiden Korea Selatan berkhidmat dalam satu penggal selama lima tahun. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |