Rafizi tolak rasmi kongres AMK, Wanita anggap sayap tiada adab

8 hours ago 6

JOHOR BAHRU –  Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menolak jemputan untuk merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita semalam kerana kedua-dua sayap parti itu tidak beradab dengan melanggar proses dan hierarki parti.

Menteri Ekonomi itu berkata, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak menyangka dirinya akan menerima perbuatan tersebut dengan memenuhi jemputan yang dibuat sempena Kongres Nasional PKR.

“Setiap organisasi bergantung kepada adab dan hierarki, kepada proses dan prosedur. Jadi adalah tidak adil apabila perkara itu dibuat untuk ketepikan saya dan anggap saya terima semuanya.

“Mereka buat pelancaran kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bertindih dengan jadual kempen pemilihan saya agar ahli-ahli tidak hadir sedangkan saya Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR.

“Izzah (Nurul Izzah Anwar) dan Amir (Datuk Seri Amirudin Shari) paksa PKR Sabah buat begitu. Bagi saya itu adalah satu tindakan ‘low blow, ‘below the belt’,” katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan tanggungjawab pada Pemilihan PKR Peringkat Pusat di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, beliau berlapang dada menerima sebarang keputusan pemilihan pada hari ini khususnya melibatkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang ditanding bersama Nurul Izzah.

“Bukan soal menang kalah, tetapi sebarang keputusan saya akan terima. Tidak timbul soal taat kepada parti kerana sesiapa yang kalah akan terus bekerja untuk parti.

“Sebaliknya inti pati perjuangan asas PKR itu perlu dipertahankan, parti ini tertubuh atas kehendak dan gerakan rakyat, jangan sehingga kredibiliti parti dipertikai ahli dan juga masyarakat di luar,” ujarnya.

Tambah Rafizi, Nurul Izzah juga ada meminta untuk bertemu dengannya pada Selasa lalu untuk berbincang mengenai pelbagai isu berbangkit sempena pemilihan PKR kali ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |