JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan kedua-dua Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar akan kembali bertaut selepas tamat Pemilihan PKR Peringkat Pusat, hari ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu mustahak demi memastikan kekuatan parti induk kerajaan Perpaduan itu dikekalkan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, Rafizi dan Nurul Izzah masing-masing mempunyai sumbangan besar dan pengaruh besar dalam PKR.
“Mungkin ada keterlanjuran, kedua pihak tuduh menuduh, saya sebagai bapa mahu beri nasihat yang penting. Kita sudah bersama, berkawan berpuluhan tahun, tak kan lah dengan kesilapan kecil ini (rosak hubungan).
“Saya sendiri terima teguran demi kebaikan parti, ada juga saya terasa sikit tetapi terima kasih kerana beri teguran supaya ingatkan kita agar kekal dengan dasar parti.
“Pedih bagaimanapun saya dengar, jika ‘blood pressure’ naik sikit pun makan ubat, tetapi percayalah kekuatan ini harus kita jaga,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berharap semua pihak akan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain kerana kita semua ada kelemahan dan kekurangan tersendiri.
“Kita semua ada kelemahan dan kekurangan tentunya, kita beri kemaafan kemudian kita berunding dalam kalangan kita sebelum keputusan dibuat.
“Tegur sedikit tetapi ia bukan khianat, jadi saya harap mereka teruskan hemah dan berbicara dengan kepentingan parti diletakkan dengan asas, pastikan tahap kemajuan tetap utama, jangan izinkan terhakis nilai.
“Saya sebagai orang lama yang jauh lebih berumur daripada saudara dan saudari tetap ada cita-cita untuk bangkit bersama pertahankan negara ini supaya jadi lebih hebat,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE