PUTRA 2 kereta lumba dibangun sendiri UPM sedia gegar litar Jepun

3 hours ago 1

MENGENDALIKAN sebuah kereta perlumbaan berkuasa tinggi di litar memerlukan kekuatan mental, ketahanan fizikal serta keserasian antara pemandu dengan kenderaan dipandu. Kesemua elemen itu penting bagi memastikan kenderaan yang dipandu mampu mencapai kelajuan maksimum di atas litar.

Itu yang dilakukan oleh seorang mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor apabila berpeluang menguji kereta lumba Formula SAE menerusi Putra Motorsport Team (PMT).

Menariknya, kereta lumba itu mengambil masa selama 13 bulan untuk keseluruhan pembinaan dari proses reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan dan pengujian kenderaan tersebut.

Inovasi automotif itu bakal menjadi saksi penting apabila kenderaan Formula SAE serba canggih tersebut bakal membawa cabaran negara ke pentas global.

Dibina sepenuhnya oleh bakat tempatan, kenderaan dikenali sebagai PUTRA 2 itu akan menggalas tanggungjawab besar selaku wakil Malaysia dalam acara berprestij 24th Student Formula Japan 2026 yang bakal berlangsung di Aichi Sky Expo, Jepun pada 2 hingga 7 Ogos ini.

Kejayaan menghasilkan kereta lumba yang kompetitif itu merupakan hasil komitmen dan dedikasi 73 orang pelajar, dengan sokongan 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal UPM.

Menurut Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, pembangunan PUTRA 2 memperlihatkan bagaimana universiti berperanan sebagai platform pembangunan bakat dan inovasi yang memberi pengalaman sebenar kepada pelajar.

“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi menerusi keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.

“PUTRA 2 membuktikan bahawa pelajar kita bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, malah membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya sewaktu pelancaran PUTRA 2 di UPM baru-baru ini.

Fadhlin ketika simulasi memandu kereta lumba PUTRA 2 yang bakal mewakili negara pada 24th Student Formula Japan 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun pada bulan depan. – ihsan UPM

Menurutnya, UPM sudah terlibat dalam program tersebut sebanyak empat kali, dan ia menyaksikan teknologi dan keupayaan kenderaan yang dipertandingkan semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.

PROGRAM seumpama itu wajar diteruskan pada masa depan untuk menggalakkan pelajar menyertainya kerana ia menyediakan platform yang sukar diperoleh melalui aktiviti-aktiviti lain.

Dalam pada itu, Penasihat PMT, Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, keupayaan pelajar menghasilkan inovasi kereta lumba bertaraf antarabangsa adalah melalui gabungan ilmu kejuruteraan, kreativiti dan budaya kerja berpasukan.

“PUTRA 2 bukan sekadar sebuah kereta lumba, tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar menterjemahkan teori kepada penyelesaian sebenar.

“Pengalaman ini membentuk kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan yang amat diperlukan dalam landskap industri masa hadapan,” katanya.

Dia turut menjelaskan, penyertaan dalam program itu memperlihatkan bagaimana UPM boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara melalui pendekatan pendidikan yang lebih aplikatif dan berorientasikan cabaran dunia sebenar.

AHMAD FARHAN (kanan) sewaktu melancarkan PUTRA 2.

Sementara itu, Kapten PMT, Aliman Zafran Yuslaimi yang juga merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal memaklumkan, PUTRA 2 merupakan pencapaian yang besar dalam sejarah perjalanan Formula SAE UPM setakat ini.

“Jentera ini bukan sekadar sebuah kereta lumba, sebaliknya ia melambangkan keazaman kami untuk melepasi had kemampuan serta mencabar apa yang kami fikir mustahil sebelum ini.

“Sepanjang projek ini berlangsung, kami berdepan dengan pelbagai rintangan seperti kekangan kewangan dan garis masa yang suntuk.

“Bagaimanapun, cabaran ini tidak menyekat kami untuk terus berjuang dan kami menjadikan ia sebagai motivasi untuk terus menyesuaikan diri dan bertahan,” katanya.

Tambah Aliman Zafran, melalui pembangunan PUTRA 2, pasukannya telah melakukan lonjakan terbesar yang pernah dilakukan dengan mencabar diri untuk menyepadukan penyelesaian kejuruteraan termaju.

Dia memaklumkan, pasukannya telah membuat beberapa penyelesaian canggih termasuk Sistem Pemerolehan Data (DAQ) yang menyeluruh, pakej aerodinamik serta sistem suspensi jenis push-rod.

Kesemua ciri tersebut memerlukan tahap kepakaran teknikal, komitmen dan kerja berpasukan yang jauh lebih tinggi daripada sebelum ini.

Kapten PMT, Aliman Zafran Yuslaimi yang berusia 23 tahun.

Aliman Zafran menambah, reka bentuk yang dibuat dan perbincangan lewat malam telah menyumbang secara langsung kepada transformasi visi pasukan menjadi sebuah realiti.

Bagi pemandu kereta PUTRA 2, Muhammad Fadhlin Mohd. Fuaad pula, bimbingan mekanikal yang padu daripada barisan penasihat serta pengurusan projek yang sistematik berjaya memberi keyakinan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab besar di Jepun nanti.

Muhammad Fadhlin berkata, pembaharuan reka bentuk mekanikal serta aspek kestabilan yang dilakukan berbanding model terdahulu, PUTRA 1 berjaya memberikan impak kawalan pemanduan jauh lebih responsif, stabil dan sangat baik.

Menurutnya, biarpun jentera itu disokong penuh oleh ekosistem digital canggih yang memberikan bacaan data mekanikal secara langsung, namun peranan pemandu diperlukan untuk memberi maklum balas nyata mengenai kondisi kenderaan.

“Sebagai pemandu, betul kita ada ekosistem yang boleh memberikan bacaan data.

“Saya selaku pemandu juga perlu memberikan maklumat semasa kepada pasukan ketika memandu kenderaan tersebut.

“Saya perlu tahu kondisi serta perubahan kereta macam mana.

“Saya juga ada pengalaman daripada latihan sebelum ini untuk diterapkan sepenuhnya di Jepun nanti,” katanya.

Menurut Muhammad Fadhlin, dia bersyukur kerana mempunyai pengalaman mengendalikan jentera terdahulu, PUTRA 1, biarpun sekadar test run (sesi uji pandu).

Bagaimanapun, pengalaman itu berjaya membantunya memahami karakter kereta lumba tersebut dengan lebih mendalam bagi menyemarakkan semangat juang pasukan untuk membawa nama negara ke litar kompetitif di Jepun.

Sementara itu, dari aspek teknikal, PUTRA 2 dibangunkan menggunakan casis keluli chromoly, badan gentian karbon komposit buatan khas serta sistem suspensi push-rod untuk meningkatkan kestabilan dan prestasi kenderaan.

Kenderaan PUTRA 2 dikuasakan oleh enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693 sentimeter padu yang ditala khusus untuk menghasilkan kuasa sebanyak 72 kuasa kuda serta daya kilas (tork) maksimum 61 newton meter (Nm).

Menariknya, keseluruhan reka bentuk sistem pengambilan udara, sistem pacuan, dan sistem ekzos jentera itu dibangunkan dengan teliti menggunakan perisian simulasi komputer canggih bagi mematuhi spesifikasi ketat pertandingan Formula SAE.

Dengan jumlah kos pembangunan mencecah RM118,787, projek berkenaan berjaya direalisasikan menerusi kerjasama erat antara universiti dan pihak industri.

Antara rakan strategik utama ialah Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd. sebagai penaja utama, Ranhill Berhad sebagai penaja kategori emas dan CFMOTO (Sunlight Power Sdn. Bhd.) sebagai penaja kategori platinum.

Sokongan tersebut memperlihatkan keyakinan pihak industri terhadap potensi bakat kejuruteraan UPM serta kepentingan memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.

Menerusi segala persiapan rapi, PMT kini bersedia memegang moto perjuangan mereka iaitu Once Throttled, Move Forward demi mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Read Entire Article
Pertanian | | | |