Pura-pura nangis depan mayat isteri, rupanya suami jadi dalang

1 day ago 11

JAKARTA – Helah seorang lelaki yang berpura-pura menangis di hadapan mayat isterinya akhirnya terbongkar apabila dia ternyata merancang ‘drama rompakan’ sebelum membunuh mangsa, lapor laman berita Tribunnews hari ini.

Kejadian berlaku di Serang, wilayah Banten pada 1 Jun lalu.

Suspek, Wadison Pasaribu, 35, sebelum ini tular di media sosial selepas video memaparkan dia menangis sambil memeluk pakaian isterinya, Petry Sihombing, 35.

Menurut abangnya dan juga peguam, Toni Lembas Pasaribu, mereka sekeluarga tidak mengesyaki sebarang perkara aneh selepas kejadian itu.

“Di rumah, dia masih menangis di hadapan jasad isterinya. Kami tidak tahu sama ada ia adalah tangisan kesedihan, penyesalan atau sandiwara,” katanya.

Helah lelaki itu akhirnya terbongkar apabila dia memberikan keterangan bercanggah dan tidak konsisten apabila ditanya oleh keluarganya mengenai kejadian ‘rompakan’ seperti yang didakwa.

Suspek akhirnya mengaku membunuh isterinya dengan cara menjerut leher mangsa.

Sementara itu, seorang jiran bernama Siti Maryam menjelaskan bahawa dia berasa curiga apabila anak suspek memanggil penduduk datang ke rumah.

Menurut  Siti Maryam, anak suspek yang berusia tujuh tahun disuruh memanggil jiran-jiran sebelum suspek mengikat dirinya sendiri di dalam karung.

“Dia mengikat diri sendiri di dalam guni, seolah-olah menampakkan seperti rumah mereka dirompak.

“Anak suspek memberitahu bahawa bapanya menyuruh dia meminta tolong jiran. Bagaimana dia boleh bertindak begitu jika dia diikat di dalam karung?” kata Siti Maryam.

Beberapa penduduk kemudian pergi ke rumah pasangan tersebut dan terkejut melihat mangsa sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Serang Kota, Komisioner Kanan Yudha Satria berkata, suspek telah ditangkap dan disoal siasat.

Namun, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi kerana siasatan masih berjalan. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |