Puluhan seluar dalam wanita dicuri untuk ritual ilmu hitam

12 hours ago 4

JAKARTA – Penduduk Dusun Telagasari, wilayah Jawa Timur diselubungi keresahan  berikutan kes kecurian pakaian dalam wanita yang semakin berleluasa sejak sebulan lalu, lapor portal berita Lambe Turah.

Lebih membimbangkan, ada dakwaan mengaitkan kecurian tersebut dengan aktiviti mistik dan ritual ilmu hitam. 

Setakat ini, puluhan seluar dalam wanita dilaporkan hilang dari ampaian, namun pihak berkuasa masih belum berjaya menahan suspek. 

Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas Ketua Persatuan Dukun Nusantara (Perdunu) Banyuwangi, Abdul Fatah Hasan mendedahkan motif di sebalik jenayah pelik itu berdasarkan kepercayaan spiritual masyarakat setempat.

Menurutnya, sekiranya suspek mencuri seluar dalam yang belum dibasuh, ia dipercayai akan digunakan untuk ritual pelaris perniagaan. 

Berdasarkan kepercayaan mistik, pakaian kotor dianggap masih menyimpan ‘tenaga asli’ pemiliknya yang mampu menarik pelanggan.

Sebaliknya, jika seluar dalam yang dicuri sudah dibasuh dan dijemur, motifnya didakwa lebih menjurus kepada ritual ilmu pengasih atau pukau.

Tambahnya, pelaku kadangkala akan mencuri lebih daripada sehelai pakaian dalam untuk memilih mana-mana satu yang mempunyai ‘keserasian tenaga’ paling kuat bagi memenuhi keperluan ritual mereka.

Salah seorang mangsa, Sulis Nunda Sari, 32 mengaku hilang sekurang-kurangnya 12 helai pakaian dalamnya. 

Dia malah mengaku pernah terserempak dengan suspek sebanyak tiga kali, tetapi tidak berani bertindak kerana takut.

Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan mengenal pasti motif sebenar di sebalik kes kecurian yang telah meresahkan penduduk setempat itu. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |