SHAH ALAM – Linkar 52, satu projek perumahan yang dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menonjolkan keindahan bandar raya Shah Alam yang bakal berwajah baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abas berkata, pemandangan beberapa fasiliti dan bangunan ikonik di bandar raya tersebut seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kompleks PKNS dan Taman Tasik Shah Alam bakal menarik perhatian bakal pembeli untuk membeli unit di pangsapuri tersebut.
“Pangsapuri yang dikategorikan sebagai pembangunan berorientasikan transit (TOD) ini berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 dan Terminal Bas Bandar raya Shah Alam.
“Terdapat beberapa kompleks beli-belah serta pusat perubatan yang dekat dengan Linkar 52. Jadi, memang untung beli unit di pangsapuri ini,” katanya selepas melancarkan projek Linkar 52 di Galeria Shah Alam (SA) Sentral, di sini baru-baru ini.
Menurut Mahmud, Linkar 52 merupakan projek perumahan pertama di bawah program pembangunan SA Sentral yang dilancarkan pada tahun lalu dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM314.42 juta.
Jelasnya, projek itu memiliki 615 unit kediaman dan 19 lot unit perniagaan runcit di dua blok yang dibina setinggi 33 tingkat.
“Kediaman ini dilengkapi fasiliti moden seperti kolam renang, taman permainan, gimnasium, gelanggang separuh bola keranjang dan laman santai.
“Linkar 52 dijangka memulakan kerja pembinaan bermula Julai ini dan siap menjelang suku kedua tahun 2029,” katanya.
Unit kediaman dibina di antara 450 hingga 850 kaki persegi dengan harga seunit kediaman dijual di antara RM351,000 hingga RM660,000.
Menurutnya, lebih 100 unit telah ditempah dan dibeli oleh pembeli pada minggu pertama pelancaran Linkar 52 baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE