PRN Johor: Sebahagian manifesto PH sudah dilaksanakan BN

8 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menyifatkan sebahagian daripada 10 tawaran atau manifesto Johor Untuk Semua yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebenarnya telah pun dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, penelitian terhadap tawaran yang dikemukakan PH mendapati beberapa cadangan tersebut bukan perkara baharu kerana sudah menjadi sebahagian daripada dasar serta inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri Johor pada penggal lalu.

Menurutnya, BN menghormati segala cadangan yang dibawa pihak lawan dalam usaha menarik sokongan rakyat, namun tawaran tersebut tidak menampilkan sesuatu yang benar-benar baharu atau mampu menjadi pencetus perubahan besar kepada negeri berkenaan.

“Saya telah meneliti dan mendapati sebahagian daripada manifesto itu telah pun dilaksanakan oleh kerajaan Johor dalam pentadbiran penggal yang lalu.

“Kita menghormati apa yang mereka cadangkan, tetapi alhamdulillah ia telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor sebelum ini dan tidak ada sesuatu yang baharu yang boleh menjadi game changer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut berpandangan pendekatan mengaitkan pembangunan Johor dengan model pentadbiran negeri lain bukan langkah yang sesuai kerana setiap negeri mempunyai kekuatan serta kelebihan tersendiri.

Katanya, Johor kini berada pada landasan pembangunan yang kukuh dan menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk dari segi pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan domestik (DDI) serta hasil negeri.

“Mereka masih cuba mengaitkan negeri Johor dengan Selangor. Tidak perlu melakukan perbandingan sebegitu kerana kita tidak boleh membandingkan epal dengan epal.

“Johor terlalu kehadapan bukan sahaja daripada FDI dan DDI, tetapi juga daripada hasil yang diperolehi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, persaingan idea dan tawaran kepada rakyat merupakan perkara positif dalam proses demokrasi asalkan ia dilakukan secara sihat.

“Semangat untuk bersaing itu baik, tetapi insya-Allah bersainglah secara sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |