PRN Johor: BN-PH di Persekutuan sangat baik, tiada ‘gaduh manja’

5 hours ago 3

KOTA TINGGI – Hubungan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan berada dalam keadaan sangat baik serta profesional meskipun kedua-dua gabungan itu berdepan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pimpinan kedua-dua pihak bersikap matang dengan membezakan isu nasional yang perlu ditangani bersama sebagai anggota kerajaan dengan isu tempatan di peringkat negeri.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen PRN Johor, tidak berlaku sebarang pergaduhan atau perselisihan melampau antara kedua-dua blok politik tersebut.

“Kita tidak pernah bergaduh dan kita tidak pernah bermanja. Maksud saya, kita berkempen secara bersopan, menyantuni isu, mendepani isu dan menangani permasalahan, itu lebih baik.

“Kerajaan Johor adalah kerajaan BN yang telah terbentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Maka munasabah mandat diberikan semula dan sokongan yang lebih kuat dapat membantu menstabilkan politik Johor serta memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak turut mengambil pendekatan konsensus termasuk bersetuju untuk mengelakkan serangan peribadi dan tindakan keterlaluan sepanjang kempen.

“Kita tidak menyerang satu sama lain walaupun berada di gelanggang yang sama khususnya di Johor dan selepas ini di Negeri Sembilan.

“Kita juga tidak mengamalkan serangan di bawah paras pinggang. Sekiranya ada kenyataan yang tersasar daripada mana-mana pihak, keadaan itu perlu diredakan segera. Yang penting proses demokrasi ini diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |