PRN Johor: Beri mandat kepada Tok Pandak terus agenda pembangunan

10 hours ago 1

ISKANDAR PUTERI – Manifesto Dewan Udangan Negeri (DUN) Kota Iskandar yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu mandat jelas kepada calon BN, Datuk Pandak Ahmad untuk meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan penduduk di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

Pengerusi BN Iskandar Puteri, Datuk Mohamad Khairi A. Malik berkata, manifesto yang dibentangkan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya lahir daripada keperluan sebenar rakyat hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat.

Menurutnya, pelbagai perkara dibangkitkan penduduk termasuk isu perumahan, pembangunan kawasan setinggan, kemudahan pasar awam moden, pendidikan dan keperluan infrastruktur yang perlu diberi perhatian secara berterusan.

“Manifesto Kota Iskandar ini fokus kepada pembangunan dan isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk sendiri. Kita mahu membantu supaya kehidupan pengundi menjadi lebih sejahtera.

“Ini juga merupakan komitmen BN dan calon kita. Apabila rakyat memberi mandat kepada Datuk Pandak Ahmad, beliau akan meneruskan usaha merealisasikan segala perkara yang telah dirancang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Jentera BN Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, manifesto berkenaan turut dilihat melengkapi manifesto BN Johor yang lebih menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Pandak berkata, Kota Iskandar mempunyai keperluan tersendiri memandangkan kawasan itu berdepan pertambahan penduduk yang pesat, justeru pendekatan khusus perlu diwujudkan bagi memastikan segala isu tempatan dapat ditangani.

“Manifesto negeri bersifat komprehensif dan menjadi milik semua rakyat Johor, tetapi Kota Iskandar mempunyai isu setempat yang perlu diberikan perhatian khusus.

“Sebab itu kita tampil dengan tawaran yang lebih berfokus supaya apabila BN diberi mandat membentuk kerajaan dan BN menang di DUN Kota Iskandar, segala usaha yang dirancang dapat diteruskan,”katanya.

Tambah beliau, prestasi kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga diyakini mampu membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan BN menunaikan janji yang ditawarkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |