PRN Johor: ‘Baru lima hari bersalin, saya tetap keluar mengundi’ 

10 hours ago 6

KLUANG – Meskipun baru lima hari melahirkan anak, seorang ibu muda tidak mengabaikan tanggungjawab apabila sanggup keluar mengundi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Nur Asyikin Maznan, 31, yang baru melahirkan cahaya mata ketiganya hadir bersama suami, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin, 34, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Menurutnya, walaupun masih dalam tempoh berpantang dan keadaan fizikal belum pulih sepenuhnya, dia tetap bertekad hadir kerana menganggap setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri.

“Alhamdulillah, walaupun baru lima hari bersalin, saya tetap mahu keluar mengundi. Ini tanggungjawab sebagai rakyat dan peluang ini tidak boleh dipandang ringan.

“Suami banyak membantu sepanjang proses keluar mengundi hari ini, jadi saya rasa lebih yakin untuk hadir,” katanya ketika ditemui di Kem Mahkota di sini hari ini.

Nur Asyikin yang berasal dari Muar itu berkata, kelahiran bayi mereka beberapa hari lalu tidak menghalang pasangan berkenaan daripada menunaikan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan dan juga pengundi.

Sementara itu, Mohammad Nazrin berkata, sokongan terhadap isterinya menjadi keutamaan bagi memastikan urusan mengundi dapat dilakukan dengan selesa tanpa menjejaskan keadaan ibu dan bayi.

Katanya, walaupun sibuk dengan tugasan serta komitmen sebagai anggota keselamatan, beliau bersyukur isterinya tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negeri.

“Sebagai pasangan, saya hanya mahu memastikan isteri berada dalam keadaan selesa. Syukur semuanya berjalan lancar dan kami dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal,” katanya.

Nur Asyikin dan Mohammad Nazrin antara 4,085 anggota tentera dan pasangan yang mengundi awal PRN Johor hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |