KANGAR – Polis Perlis merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM13.14 juta menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, semalam.
Menerusi pemeriksaan sekitar pukul 3.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bersama sebuah kereta jenis Proton Waja.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemui di mana di dalamnya mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 365kg dengan nilai kira-kira RM13.14 juta.
“Modus operandi suspek adalah dipercayai dengan menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar untuk dijadikan sebagai transit sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.
“Polis percaya dadah ini dibawa masuk secara berperingkat untuk dikumpulkan sebelum diedarkan oleh sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perlis, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan rampasan berkenaan dapat digunakan oleh seramai kira-kira 3.6 juta orang penagih.
Katanya, saringan awal juga mendapati suspek ditahan adalah positif Methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Polis juga sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad berkata, polis turut berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun di Taman Singgah Sana, Padang Besar, bersama dua ketulan mampat dipercayai ganja, sekitar pukul 2.15 pagi, semalam.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam sebuah tong sampah dan dianggarkan bernilai RM6,200.
“Saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 20,000 penagih,” katanya.
Tambahnya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB. – KOSMO! ONLINE