Polis nafi suspek tembak lima renjer Thailand lari ke Kelantan

11 hours ago 2

KOTA BHARU – Polis menafikan dakwaan suspek yang menembak mati lima anggota pasukan renjer di Narathiwat, Thailand pada 22 Julai lalu melarikan diri ke Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dakwaan suspek terlibat insiden tembak atau keganasan di Selatan Thailand akan menyebabkan melarikan diri ke Kelantan sering dibangkitkan, namun tiada bukti dapat dikaitkan dengan perkara tersebut.

Katanya, anggota pasukan Cawangan Khas seluruh daerah dan Kontinjen Kelantan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di sempadan, namun tidak mengesan sebarang pergerakan suspek ke negeri ini.

“Setiap kali berlaku kejadian tembak atau pergaduhan di sana (Thailand), pasti ada yang kata suspek lari ke sini (Kelantan), namun sehingga kini tiada bukti.

“Pasukan Cawangan Khas dan risikan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kontinjen sentiasa menjalankan risikan. Setakat ini tiada bukti mengatakan mereka lari ke Kelantan.

“Jika ada, sila beri nama mereka kepada kami,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa diperketatkan sejak beliau mengetuai pasukan dalam membendung penyeludupan dadah dan kontraban, malah menghalang sebarang jenayah rentas sempadan.

Katanya, kawalan tersebut turut menepis persepsi bahawa Kelantan menjadi laluan mudah kepada penjenayah yang melarikan diri dari selatan Thailand.

“Sebab itu saya tekankan kawalan dan penutupan sempadan sejak datang ke Kelantan. Selain kes penyeludupan, banyak dakwaan mengatakan penjenayah dari Thailand lari ke Kelantan. Selepas kawalan sempadan diperketatkan, perkara seperti itu sudah tidak berlaku,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae di Narathiwat, Thailand. – KOSMO! ONLINE

habis

Read Entire Article
Pertanian | | | |