GEORGE TOWN – Polis sudah mengenal pasti identiti seorang penunggang motosikal yang dipercayai menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penunggang motosikal terbabit akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan dan dua buah motosikal.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari sekolahnya di Batu Lanchang menuju ke rumahnya di Gelugor.
“Apabila melalui tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal yang lain dari arah kiri telah terlanggar motosikal mangsa.
“Akibat impak tersebut, mangsa telah terjatuh di atas jalan raya setelah bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan lalu terlanggar oleh sebuah lori di sebelah kiri jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang mengalami cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang namun meninggal dunia di hospital pada pukul 6.09 petang semalam.
“Pemandu lori dan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular satu video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan kejadian motosikal yang mangsa tunggang dihimpit sebuah motosikal lain di antara sebuah kereta dan lori kecil.
Mangsa yang terjatuh di tengah jalan kemudiannya dirempuh pula dengan lori yang berada di sebelah kiri jalan terbabit. Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan. – KOSMO! ONLINE